
LAJNAH Kesihatan PAS Pusat amat kecewa dan terkejut dengan kenyataan seorang menteri yang menolak RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG). Kenyataan itu menunjukkan sikap tidak peduli dan tidak bertanggungjawab terhadap usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan yang berikrar untuk mencipta masyarakat bebas asap rokok.
Menteri itu juga cuba memperlekehkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dengan menuduhnya sebagai Menteri Kesihatan paling gagal kerana tidak mampu membuktikan secara konsisten bahawa kanser berpunca daripada tabiat merokok. Kenyataan ini menampakkan kebodohan dan ketidakmatangan menteri tersebut yang tidak menghormati rakan sejawatnya di Kementerian Kesihatan yang sedang memegang jawatan tersebut.
Menteri Kesihatan sekarang pula tidak berdaya untuk membawa visi dan misi kementerian yang diamanahkan kepadanya. Beliau gagal untuk menggesa Parlimen meluluskan RUU tersebut yang sepatutnya menjadi keutamaan beliau, sehingga ketidakupayaan beliau ini telah membuka ruang kepada satu generasi pengguna vape yang tidak tertakluk kepada undang-undang.
Akibat kegagalan ini, masyarakat terpaksa menanggung risiko penyakit berkaitan tembakau, kos penjagaan kesihatan yang melambung, dan keciciran dari usaha global untuk meningkatkan kesihatan awam. Fakta, data dan kajian lapangan berasaskan bukti empirikal dan kajian-kajian berdasarkan ‘Evidence Based Medicine’ yang telah dijalankan oleh Pakar-pakar Kesihatan Awam termasuklah di Malaysia tidak boleh dipersoalkan lagi. Menteri yang mengeluarkan kenyataan peribadi dengan tidak berdasarkan fakta hanya akan membawa kepada malapetaka buat rakyat dan negara.
Kami sebagai warganegara yang prihatin, menuntut agar ahli politik terutamanya Ahli Dewan Rakyat menyokong dan melaksanakan RUU GEG 2023 demi melindungi kesejahteraan masyarakat sejagat.
Lajnah Kesihatan mendesak semua pihak untuk untuk mempertimbangkan semula pendirian mereka secara serius dan terlibat secara aktif dalam perbincangan, menghargai usaha Pakar-pakar Kesihatan Awam serta meninggalkan budaya polemik politik murahan yang hanya akan merugikan kesihatan rakyat Malaysia.
YB DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap
Pengerusi Lajnah Kesihatan
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/11/2023











