Ketika Islam dicabar jihad menjadi fardu ain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pendekatan yang pernah digunakan oleh bapa sekular Turkiye Kamal Atartuk, sekali lagi dijelmakan dengan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kejatuhan kerajaan Uthmaniah Turki 100 tahun lalu menjadi bukti kekuatan orang Islam dapat dilumpuhkan dengan mengekang kuasa pemerintahannya.

Sedangkan katanya, penjajah memberi ‘lampu hijau’ kepada orang Islam berkaitan hal peribadi, perkahwinan, sembahyang, melihat anak bulan dan sebagainya.

“Penjajah British ketika itu tidak berani campurtangan berkaitan hal ehwal agama Islam kerana ia hak orang Islam.

“Namun malangnya hari ini ada dalam kalangan orang Islam sendiri berani campurtangan, Britis sekali pun tidak berani.

“Pihak berkenaan cuba nak rendah, rungkaikan lagi hukum syariah yang ada sekarang,” katanya pada Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud; Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan kepimpinan kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan orang Islam supaya sedar hubungan dengan hukum syariah sangat penting walaupun bidang kuasanya masih kecil dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu kata beliau, orang Islam tidak boleh menyerah kalah terhadap permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman dalam permohonan untuk membatalkan kesalahan jenayah syariah.

“Kita tidak boleh menyerah kalah, wajib melawan dan menentang usaha untuk merendahkan hukum syariah kerana ulama fikah mengatakan bila berlaku situasi Islam dicabar maka jihad akan menjadi fardu ain,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2023

- Advertisement -