Kaedah dua negara untung penjajah Zionis Israel

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penyelesaian Dua Negara (Two State Solutin) yang pernah dilaksanakan ketika krisis berdarah Gaza pada 1948 dan 1967 memberi keuntungan penjajah Zionis Israel.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kaedah tersebut bukan perkara yang baharu bahkan Israel yang disokong kuasa besar dunia terus memperluaskan lagi tanah jajahan.

Katanya Zionis Israel mahu mengubah peta dunia yang ada pada hari ini.

Beliau berkata serangan ke atas Gaza dan penghapusan rakyat Palestin merupakan perancangan Zionis untuk mendirikan negara Israel dengan memusnahkan Masjid al Aqsa dan menggantikan dengan kuil Yahudi.

“Mereka kepung habis-habisan sejak dahulu, mereka menipu pemimpin Arab dengan penyelesaian Two State Solution iaitu satu negara Yahudi dan satu negara Palestin Arab.

“Perkara itu sudah diamalkan pada tahun 1948 oleh British dan diulang semula pada 1967,” katanya pada Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Menurutnya ekoran tindakan itu menyebabkan negara Palestin semakin kecil dan Israel tambah besar.

Malah dalam masa sama Israel membawa masuk Yahudi dari luar masuk ke Palestin berduyun-duyun, di mana pendatang diberi latihan senjata dan bukan sebagai rakyat biasa.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia sekali lagi menyokong penyelesaian dua negara sebagai solusi jangka panjang bagi menghentikan konflik tersebut yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Perkara itu dikemukakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan Liga Arab serta mengesa negara lain menyokong inisiatif itu. – HARAKAHDAILY 19/11/2023

- Advertisement -