
KEMAMAN: Calon PAS PRK P.040 Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar telah membawa banyak legitimasi menerusi pentadbiran kerajaan negeri termasuk di Kemaman.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, antaranya dalam aspek kewangan negeri di mana dua tahun berturut-turut tidak mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara.
“Dikeranakan oleh akaun kita yang telus dan baik di dalam satu penilaian yang telah dibuat oleh satu institusi yang menilai ketelusan penyediaan akaun-akaun kerajaan negeri. Negeri Terengganu mendapat markah tertinggi dari segi ketelusan akaun,” ujarnya.
Dari segi pengurusan kewangan tersebut beritahunya, Terengganu lebih telus dengan markah mengatasi Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), selain ketiga tertinggi dalam pertumbuhan KDNK.
Jelas beliau, Terengganu menerima banyak pelaburan di mana antara terbaru Pelabuhan Kemaman dari mengendalikan kapasiti 7 juta tan metrik setahun bakal bertambah kepada 23 juta tan metrik setahun dalam empat atau lima tahun lagi.
“Selain daripada itu, Perwaja Steel sendiri kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan pelaburan, ada syarikat baru yang akan buka balik kilang besi ini. Yang akan mengeluarkan pengeluaran besi dalam jumlah yang besar.
“Hampir sama macam Eastern Steel Sdn Bhd 10 juta tan metrik kat situ. Peluang pekerjaan yang besar untuk rakyat negeri Terengganu. Dan selain daripada itu kemasukan pelaburan yang lain antara lain yang boleh saya sebut kilang yang berkaitan dengan teknologi tinggi Lithium.
“(Itu) bernilai hampir RM10 bilion dan ini semua memerlukan kepada pembesaran pelabuhan Kemaman yang dalam proses pelaksanaannya,” ujar beliau ketika Ceramah Perdana UDM Pekan Kijal di Markas PAS Ibai Penunjuk, di sini malam tadi.
Beliau turut mendedahkan kembali keadaan tadbir urus kewangan dan ekonomi negeri ini semasa di bawah kerajaan terdahulu di mana ada syarikat milik kerajaan (GLC) negeri yang mengalami kerugian.
Bidas beliau, pembaziran turut dilakukan oleh GLC yang berada di Kemaman di mana projek bernilai ratusan juta ringgit diserahkan tanpa tender kepada syarikat RM2 dan menanggung hutang besar.
Hutang lebih RM8 juta itu beritahunya, bukan hanya diselesaikan di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri dalam masa dua tahun sahaja, sebaliknya membuat keuntungan pula setelah itu sebanyak ratusan juta ringgit. – HARAKAHDAILY 19/11/2023











