
ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menziarahi balu dan keluarga bekas Syeikhul Islam Thailand, Allahyarham Sheikh Abdul Aziz Ismail Phithakkumpol di kediaman beliau di Hat Yai, Thailand.
Menyambut baginda isteri Allahyarham, Romi-Ah Phithakkumpol dan anak beliau Senator Dr. Zakee Abdul Aziz Phithakkumpol.
Allahyarham dilantik sebagai Syeikhul Islam iaitu Mufti Thailand atau ‘Chula’ dalam bahasa Thai pada 2010 dan telah kembali ke rahmatullah pada 22 Oktober lalu serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Hua Khao di daerah Singhanakhon.
Turut mengiringi baginda Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Semalam Tuanku Syed Faizuddin Putra menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jabal Salam, Khuan Lang.
Tuanku Raja Muda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan sumbangan untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan yang diserahkan kepada Imam Masjid berkenaan, Ghazale Srivamad. – HARAKAHDAILY 18/11/2023











