
TUMPAT: Perarakan melibatkan lebih 200 bot nelayan dengan menyusuri Sungai Kelantan sambil mengibarkan bendera Palestin membangkitkan semangat solidariti terhadap umat Islam di Gaza.
Hampir 1,500 orang mengikuti perarakan itu termasuk bekas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub, Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan, Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan Adun Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.
Turut hadir pada majlis bersejarah itu, ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dan Penasihat Cakna Palestin, Wan Mohd Sharafi Wan Mustapha.
Perarakan bot dirasmikan Ustaz Ahmad kira-kira jam 5 petang selepas solat Asar yang bermula di Jeti Warisan Kampung Laut.
Perarakan itu turut disaksikan penduduk tempatan yang berada di sepanjang Sungai Kelantan dan berakhir di Bandar Baharu Lembah Sireh berhampiran Pasar Raya Lotus Kota Bharu sebelum peserta berpatah balik ke Jeti Laman Warisan.
Program anjuran Kelab Anak Muda Tumpat itu juga bertujuan mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Shyariah (l) Kelantan yang kini dicabar individu bernama Nik Elin, dan akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan 20 November ini.
Ustaz Ahmad ketika berucap melahirkan rasa syukur di atas kesedaran rakyat Kelantan khususnya Tumpat berhubung nasib umat Islam di Palestin dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (l) yang kini dicabar pihak tidak bertanggungjawab.
“Marilah sama-sama kita mendoakan semoga saudara seakidah kita di Palestin selamat dan menjulang kemenangan dan enakmen kita juga dapat dipertahankan di mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, pengerusi persatuan berkenaan Mohd Hushaimi Husian berkata pihaknya tidak menduga kehadiran begitu ramai peserta sehingga melebihi jangkaan awal hanya 150 penyertaan.
Katanya, sambutan luar jangkaan itu membuktikan hebatnya rakyat Kelantan walaupun jauh beribu kilometer jauh dari bumi Palestin.
Katanya juga di Palestin umat Islam dibunuh tanah air mereka dijajah Israel, manakala di Malaysia enakmen berkaitan undang-undang Islam pula dicabar.
“Walaupun dua perkara yang berbeza antara Malaysia dan Palestin, namun ia menjurus perkara yang sama.
“Inilah akhir zaman, realiti Islam diserang segenap penjuru, dibom orang awam termasuk kanak kanak di Palestin dan kita pula berdepan cabaran undang-undang Islam oleh golongan liberalisme,” ujarnya.
Hushaimi juga berkata, andainya tidak ditangani dengan baik, ia akan memberi kesan besar pada perundangan Islam di setiap negeri. – HARAKAHDAILY 18/11/2023











