Hanya PAS dan BN bertanding PRK Kemaman

Dr Ahmad Samsuri menunjukkan bola untuk cabutan nama pada kertas undi. (Foto ZAM ZAM)
- Advertisement -

KEMAMAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili BN.

- Advertisement -

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan demikian di pusat penamaan calon di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandatan Kemaman pada jam 10.15 pagi ini.

Dr Ahmad Samsuri menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi sementara Raja Mohamed Affandi Raja empat minit kemudian.

Menurut Ahmad Farhan, beliau berpuas hati setelah meneliti borang daripada kedua-dua calon berkenaan dan tiada yang ditolak.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Menurut SPR, PRK Parlimen Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

- Advertisement -