Berani desak MB Selangor, N Sembilan letak jawatan?

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KEMAMAN: Menteri yang jaga undang-undang dan reformasi parlimen Datuk Seri Azlina Othman seperti tidak faham apabila mendesak Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan Menteri Besar (MB).

- Advertisement -

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata, sepatutnya pemimpin Umno terbabit meminta MB Selangor dan MB Negeri Sembilan meletak jawatan dahulu.

“Boleh ke? Kalau nak suruh MB Terengganu letak jawatan dan fokus Parlimen Kemaman. Ada berani tak?

“Depan ahli Umno bolehlah sembang deras, kononnya nak nampak hebat. Kalau rasa nak hebat macam Hang Jebat versi wanita, suruh rakan sekutu politik PKR minta MB mereka letak jawatan dan fokus Parlimen masing-masing,” katanya pada kenyataan.

Azlina pada laporan media mendesak Dr Ahmad Samsuri meletak jawatan MB kerana bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Razali yang juga Pengerusi Pimpinan Bersatu Terengganu berkata, kadang-kadang adil itu kena letak pada keadaan yang sesuai.

Kata beliau juga agaknya Umno gerun terhadap rekod 40-0 (Dun + parlimen) di Terengganu di bawah MB Terengganu sekarang membimbangkan Ketua Penerangan Umno.

“Masalah besar Azalina dan Penerangan Umno adalah berlaga angin dan nak tunjuk handal dalam pasukan sendiri,” ujarnya.

Menurutnya juga pengundi Kemaman sudah ada hala tuju sendiri dan siapa yang hendak dipilih pada 2 Disember ini.

Kata beliau pastinya Dr Samsuri calon PAS bagi PRK Kemaman yang juga MB kesayangan semua mewakili suara rakyat masa kini dan masa hadapan. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

- Advertisement -