
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan diajak hadir pada program mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan dan solidariti umat Islam di Palestin malam esok di Stadium Sultan Muhammad 1V.
Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof, berkata umat Islam sekarang diserang dengan pelbagai cara termasuk berstrategi dan terancang untuk menghancurkan umat Islam.
Katanya, di Palestin orang Islam berhadapan dengan Zionis Yahudi yang angkuh membunuh, merosakkan harta benda serta menjarah bumi Palestin secara terang-terangan.
“Di Malaysia pula menghadapi ancaman, pencerobohan dan kebiadapan yang tidak sedikit dengan mempertikaikan peranan Mahkamah Syariah dan perundangan Islam.
“Tanggal 20 November ini, akan berlangsung rayuan di Mahkamah Persekutuan kes Nik Elin mencabar 20 seksyen kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
“Cabaran itu dibuat atas alasan Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai punca kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah syariah kerana ia dikatakan berada di bawah kuasa Persekutuan,” ujarnya di sini hari ini.
Tambahnya, cabaran itu amat membimbangkan sekiranya permohonan kes tersebut diluluskan, ia akan bakal memberi kesan yang sangat besar kepada keabsahan Undang-Undang Syariah.
“Bukan sahaja di Kelantan bahkan di 14 negeri lain juga akan menghadapi kesan yang sama. Kita juga berasa sangat kesal dan sedih kerana undang-undang syariah dicabar oleh orang Islam sendiri.
“Kita perlu memastikan usaha tersebut dihancur dan digagalkan dengan segera,” katanya yang juga ahi parlimen Rantau Panjang.
Oleh itu beliau yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional Kelantan berharap orang ramai hadir tanda komitmen dan solidariti atas kefarduan sebagai rakyat Kelantan yang beragama Islam.
“Hadirlah beramai ramai dii Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 18 November bermula jam 6 petang.
“Kita akan sama-sama bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala untuk menegakkan undang-undang Islam di Malaysia. Juga solidariti saudara kita di Palestin yang sedang berjuang dan mempertahankan tanah air mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2023











