
PRU 2013 Umno – BN menang Terengganu dan berjaya pertahankan kerusi ini dengan majoriti besar 12,306 undi melalui calonnya Ahmad Shabery Cheek.
Ketika itu Pengerusi Umno Negeri kini Datuk Ahmad Said juga menang di DUN Kijal dalam Parlimen ini dengan majoriti 4,204 undi.
BN menang Parlimen dan 3 dari 4 DUN di sini. Ternyata Kemaman kekal kubu kuatnya.
Akan tetapi dalam PRU 2018 Umno kecundang di Parlimen apabila Shabery tewas dengan majoriti 2,163 undi.
Namun Ahmad Said bertahan dan menang di Kijal dengan majoriti 1,265 undi membuktikan Kemaman masih kubu Umno kerana Kijal tidak dapat ditumpaskan.
Dalam PRU 2022 PAS kekal pertahankan Parlimen Kemaman kali ini dengan majoriti besar 27,179 undi. Yang tewas adalah pencabar dari Umno kali ini Ahmad Said sendiri.
PRN 2023 Ahmad Said selaku Panglima Umno negeri dikalahkan pula di DUN tradisinya Kijal dengan majoriti 3,758.
Bukan sahaja Panglima Umno tersungkur di Kemaman dan Kijal tapi PRU Parlimen dan DUN Terengganu ke 15 baru-baru ini semua calon-calon BN-Umno kecundang 8-0 di Parlimen dan 32-0 di negeri.
Realitinya mesej dari rakyat adalah bahawa Terengganu bukan lagi tapak buat Umno.
Dan esok akan diadakan penamaan calon untuk PRK Kemaman setelah mahkamah membatalkan kemenangan calon PAS dalam PRU Parlimen ke-15.
Suka tak suka Umno perlu letakkan calon kerana Kemaman pernah jadi kubunya. Tapi ini tahun 2023, tahun di mana Umno pupus tanpa kerusi.
Berupayakah Umno memberikan lawan pada PAS? Kerana itu awal-awal lagi Pendekar Umno tarik diri, setelah tumpas berganda dalam PRU Parlimen dan Negeri. Ahmad Said sudah hilang beraninya.
Lalu dicalonkanlah Jeneral pencen untuk membawa panji-panji Umno yang telah robek seribu itu angkara kepimpinan Umno negeri ke medan tempur PRK Kemaman.
Kita tidak nafikan bahawa Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi telah banyak berjasa pada negara, tetapi Kemaman bukan medan tempur perang konvensional.
Ia perang pilihan raya. Perang antara parti-parti politik. Perang di mana Umno Terengganu tidak berani lagi tawar diri, tiada lagi pemimpinnya yang layak, Umno paling lemah di Terengganu hari ini. Kerana itu disabungkanlah veteran tentera kita, Umno tiada lagi keberanian. Itu mesej yang jelas pada rakyat Terengganu.
PAS serius dalam medan tempur perang pilihan raya ini. Hari ini PAS blok terbesar di Parlimen dengan 43 kerusi termasuk Kemaman sebelum dibatalkan.
Kerana itu untuk PRK ini PAS tidak bariskan orang pencen sebaliknya Menteri Besar sendiri yang masih berkhidmat dengan rekod cemerlang yang diakui sendiri rakyat Terengganu.
Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dicalonkan untuk Kemaman kerana PAS hari ini mewakili suara umat Melayu Islam bukan lagi Umno.
Kita yakin jika dalam PRK Kuala Terengganu PAS dapat menang dengan majoriti yang meningkat, di Kemaman insya-Allah majoritinya lipat kali ganda kerana PAS hari ini adalah harapan rakyat Malaysia.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/11/2023











