Fatwa pengharaman ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem

- Advertisement -

FATWA di bawah Seksyen 50 

Menurut Seksyen 50 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M [En. Tr. 2/2001], Jawatankuasa Fatwa, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menurut Seksyen 49 Enakmen, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam jadual. 

Jadual fatwa berkenaan dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali ke-15 yang bersidang pada 13 Safar 1445H bersamaan dengan 30 Ogos 2023M telah berbincang perkara berkenaan dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem. Fatwanya adalah seperti yang berikut: 

Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat lagi menyesatkan dan bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulamak al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah. Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem termasuklah:

(a) Mendakwa bahawa Allah S.W.T Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah S.W.T menghendaki mengadakan anak untuk diriNya, Dia Maha Berkuasa menciptanya. Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami bahawa Allah S.W.T harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah S.W.T mustahil mempunyai anak;

(b) Mendakwa bahawa Allah S.W.T Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah S.W.T menghendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya. Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah S.W.T mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk; 

(c) Mendakwa bahawa pentakwilan ayat-ayat sifat Allah S.W.T yang diterima pakai oleh aliran ulama’ al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah seperti Istiwa’, Wajh, Yad dan seumpamanya adalah sesat sama kedudukannya seperti ajaran kumpulan Mu’tazilah dan Jahmiyyah yang sesat; 

(d) Mendakwa bahawa golongan al-Asya’irah adalah sama dengan golongan Yahudi, Jahmiyyah, Mu’tazilah, Musyrikin dan penyembah lembu;

(e) Mendakwa bahawa akidah para ulamak al-Asya’irah seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam                   al-Syahrastani dan Sultan Ulamak I’zzuddin Ibn ‘Abd al-Salam adalah sama pegangan dengan akidah puak sesat Jahmiyyah; 

(f) Mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah mati dalam keadaan kufur; dan 

(g) Mendakwa bahawa tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asya’irah. Jika solat Jumaat di belakang imam yang bermazhab al-Asya’irah, maka solatnya hendaklah diulang dengan solat Zohor.

Mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah haram.

Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem merupakan fahaman ekstremis agama atau golongan pelampau (ghuluw) yang boleh mengancam keselamatan negara. 

Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka, atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat. 

Apa-apa penulisan atau penerbitan bahan bercetak atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat.

Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah tidak dibenarkan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai kaitan dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem.

Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, belajar, menyebarkan atau mengamalkan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 wajib segera bertaubat kepada Allah S.W.T dan pihak berautoriti berhak mengadakan sesi pemulihan untuk mereka.

Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah menghindari diri daripada terlibat dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem. 

Dengan Titah Perintah, 

DATO’ DR. HAJI MOHAMAD SABRI HARON
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa
Negeri Terengganu
Bertarikh 16 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 16/11/2023

.

- Advertisement -
- Advertisement -