Enakmen Syariah sedang dalam bahaya

Dato' Dr. Halim Tamuri
- Advertisement -

RAMAI umat Islam tak sedar. Sekarang kita nampak secara fizikal peperangan yang berlaku di Palestin. Tetapi ada satu lagi musibah besar yang sedang berlaku di Malaysia dan ramai dari kita tak nampak. Iaitu serangan untuk merungkaikan sendi-sendi syariah dalam negara kita.

- Advertisement -

Sedangkan Islam sebagai agama tidak boleh berdiri tanpa sendi iaitu syariah Islam.

Ambillah ibrah daripada tragedi Natrah. Satu peristiwa hitam buat umat Islam apabila mereka berjaya merobek akidah yang ada pada Natrah.

Inilah yang akan berlaku apabila kita tidak bersedia menangani ancaman yang menimpa Enakmen Syariah.

Kita akan menyaksikan akidah ummah tidak dapat dipertahankan dan perintah-perintah agama tidak dapat digubal. Nauzubillah. Malangnya hari ini kita menyaksikan Enakmen Syariah dicabar oleh orang Islam di negara Islam!

Oleh kumpulan litigasi strategik.

Mereka tidak ramai. Mereka hanyalah sekelompok orang cerdik pandai dengan sokongan rangkaian dan kewangan yang kuat.

Mereka cari kes-kes mahkamah yang boleh digunakan untuk rungkai satu demi satu sendi undang-undang syariah dalam negara.

Sudah puluhan tahun mereka bergerak daripada awal 1990-an. Walaupun lebih 20 tahun mereka gagal, namun mereka telah menyambut kemenangan pertama dalam kes Indira Gandhi.

Hakim sebulat suara (5-0) memutuskan pendaftaran pemelukan Islam tiga orang anak yang tidak cukup umur itu sebagai tidak sah.

Keputusan ini telah meragut satu bab daripada hukum Islam dalam negara kita. Dan mereka tidak berhenti di situ.

Mereka failkan pula kes dengan menyaman 8 negeri. Mereka menuntut supaya beberapa enakmen Jenayah Syariah dalam 8 negeri yang dinamakan diisytihar sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan. Kemudian mereka guna pula kes Iki Putra yang didakwa di Mahkamah Syariah Selangor atas kesalahan liwat.

Mereka tak puas hati. Mereka cabar dan lawan. Di Mahkamah Tinggi mereka kalah. Di Mahkamah Rayuan mereka kalah. Pada Februari 2021, sejarah yang menakutkan berlaku.

Mahkamah Persekutuan dengan 9 hakim memberi kemenangan kepada Iki Putra sekali gus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Mahkamah turut putuskan DUN Selangor tidak ada kuasa untuk menggubal apa-apa kesalahan untuk orang Islam jika ia tarkandung dalam senarai Persekutuan. Inilah yang menakutkan kita semua. Ini kerana dalam kes Nik Elin hari ini, kesemua 20 peruntukan yang dicabar itu terkandung dalam undang-undang Persekutuan.

Jika ikut logik, tipis peluang untuk kita menang pada 20 November 2023.

Dan andai kita kalah dalam kes ini, maka negeri lain akan turut terkesan sama. Jika satu kesalahan jenayah syariah negeri dibatalkan atas alasan tiada kuasa menggubal, maka negeri lain pun begitu. Lebih malang. Apabila kita kalah ini, kita tidak dapat menggubal semula kecuali dengan meminda Perlembagaan! Kerana itu kita amat berharap kepada keajaiban daripada Allah SWT melalui doa-doa umat Islam.

Bangunlah wahai umat yang tidur! Mari kita luruskan saf, zahirkan kebersamaan kita mempertahankan Syariah. Saya seru seluruh umat Islam untuk hadir ke himpunan pada 20 November ini di Istana Kehakiman Putrajaya.

DATO’ DR. HALIM TAMURI
Pesuruhjaya PAS Selangor – HARAKAHDAILY 16/11/2023

- Advertisement -