Apa status kurangkan 18 peratus bayaran tol?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan rundingan untuk mendapatkan harga terbaik dengan pencapaian pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dibangkitkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta penjelasan perkara itu yang membabitkan 19 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, rundingan tersebut bagi mendapatkan kadar bayaran tol terbaik yang tidak membebankan pengguna lebuh raya.

“Pakatan Harapan (PH) pernah melancarkan manifesto pilihan raya bagi mengadakan rundingan bagi mencapai pengurangan 18 peratus bayaran tol.

“Minta Menteri Kerja Raya menyatakan langkah-langkah kerajaan dalam mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan sentiasa mengkaji terma terbaik dalam perjanjian itu.

Beliau berkata, keputusan kerajaan pada 18 Disember 2020 berhubung perkara itu ialah melaksanakan penstrukturan semula melalui rundingan dengan semua syarikat konsesi.

Katanya, ini termasuk menyusun semula kadar tol dengan kadar lebih rendah atau kekal dengan kadar sedia ada sehingga tamat tempoh konsesi selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Bagi LPT2, rundingan masih dijalankan dan memakan sedikit masa untuk dimuktamadkan memandangkan penstrukturan semula ini memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

“Selain kerajaan dan syarikat, perjanjian ini melibatkan institusi kewangan yang melabur dalam projek ini dalam bentuk bon atau sukuk, rundingan ini sedang berjalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

- Advertisement -