
KUALA LUMPUR: Ucapan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhubung tuduhan terhadap Gelombang Hijau telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), kes itu disiasat di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
“Kes ini telah disiasat di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 dan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” kata KDN dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status siasatan kes 3R dan pendakwaan terhadap YB Bagan berkenaan ucapan beliau yang menuduh Gelombang Hijau “akan menafikan hak bukan Islam dan akan berlaku pemusnahan rumah ibadat mereka”.
Menurut KDN lagi, PDRM sentiasa komited dalam memantau isu-isu 3R dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan polis diterima serta wujud elemen kesalahan di bawah mana-mana peruntukan seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan seumpamanya bagi mengelakkan perlakuan-perlakuan itu daripada terus berleluasa sehingga boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam. – HARAKAHDAILY 15/11/2023











