
ARAU: Satu gred tunggal sahaja diwujudkan untuk beras putih tanpa perlu dilabel sebagai beras putih tempatan dan beras putih import di pasaran.
Pengerusi Gabungan Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, perkara tersebut perlu supaya tidak berlaku penyelewengan di peringkat pemborong.
“Pihak kami mengesyorkan agar pihak Kawalselia Padi dan Beras mengadakan satu gred tunggal sahaja untuk beras putih, di mana tidak perlu lagi dilabel beras putih tempatan dan beras putih import di pasaran.
“Ini penting supaya sebarang manipulasi di peringkat pemborong dapat ditutup terus dan pengguna tidak tertipu dengan produk beras yang mereka beli,” katanya pada sidang media di sebuah kilang beras di Simpang Empat, di sini, hari ini.
Menurut Marzukhi, selagi ada perbezaan harga antara dua gred beras putih, masalah penyelewengan tidak akan selesai.
“Sekiranya berlaku lonjakan harga beras import di masa hadapan, risiko penyelewengan akan ada.
“Dengan adanya gred tunggal beras putih, industri padi beras mampu menjadi lebih stabil dan harmoni.
“Pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit dapat menguruskan tanggungjawab masing-masing dengan lebih terkawal dan terancang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, ujarnya, kualiti beras tempatan jauh lebih baik dari beras import yang lain.
“Umum mengetahui bahawa beras putih tempatan adalah lebih berkualiti daripada beras import namun di Malaysia, ia diletakkan di kelas yang terbawah daripada beras lain.
“Pada masa sama, beras putih import terus mendapat nama walhal ia sebenarnya adalah beras yang dicampurkan dengan beras tempatan untuk menepati citarasa rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2023











