
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meneliti laporan Program Publisiti dan Penyertaan Awam secara lebih terperinci mengenai Pengubahan Rancangan Pemajuan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan berkenaan sebelum sebarang keputusan secara lebih terperinci diputuskan.
Katanya, laporan mengenai perkara itu dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas melalui peringkat Program Publisiti dan Penyertaan Awam yang bermula 11 Oktober hingga 11 November lalu.
“Sebaik sahaja kita terima laporan, kerajaan negeri akan meneliti untuk mengenal pasti kawasan yang dikatakan kawasan sensatif alam sekitar serta menepati kriteria tertentu memandangkan kawasan terbabit juga luas.
“Apa pun kita akan pertimbangkan nanti dan melihat kawasan yang berpotensi kerana tidak semua kawasan terbabit tidak boleh untuk dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Kerajaan Kelantan juga difahamkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkaitan cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar di negeri itu. – HARAKAHDAILY 15/11/2023











