
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) membangkitkan masalah lima ambulans di kawasannya yang bukan sahaja tidak mencukupi, malah kerap rosak.
Menurutnya, Parlimen Muar memerlukan 10 ambulans, tetapi ketika ini hanya ada lima ambulans dan daripada jumlah itu, tiga pula kerap dihantar ke bengkel untuk dibaiki.
Katanya, liputan perkhidmatan Hospital Muar sangat luas dan bukan hanya untuk Parlimen Muar, malah Parlimen Pagoh, iaitu antara kawasan Pagoh hingga Semerah.
“Waiting time (masa menunggu) untuk ambulans sangat penting kerana Muar sangat panjang dari Pagoh ke Semerah, akhirnya akan menjejaskan emergency services (perkhidmatan kecemasan) yang perlu disediakan bagi warga Muar. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, mengakui masalah di Parlimen Muar yang turut sangat diperlukan di setiap hospital seluruh negara.
Pada tahun hadapan, katanya kementerian akan melaksanakan perolehan 590 ambulans yang dibuat secara berfasa hingga 2025.
“Kita jangka akan dapat berita baik yang boleh disampaikan kepada Hospital Sultanah Fatimah. Kita akan memperuntukkan sebanyak lima ambulans, sekali gus dapat menambah baik kepantasan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kita juga harus sedar bahawa selepas pandemik Covid-19, banyak kenderaan mencatatkan peningkatan dari sudut perbatuan. – HARAKAHDAILY 14/11/2023











