Umat ini tanggung hutang, rasa bersalah kepada Palestin

- Advertisement -

ALOR SETAR: Umat Islam di seluruh dunia akan terus menanggung hutang yang tidak dapat ditentukan jumlah bayarannya sertabrasa bersalah terhadap rakan dan saudara-mara di bumi Palestin.

Menteri Besar, Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua syahid dibom serta ditimpa runtuhan bangunan, rumah kediaman dan hospital, selain kelaparan dan sekatan elektrik.

“Semuanya terkurung dalam satu penjara terbuka, terbesar dunia oleh rejim Zionis-Israel di sebuah kawasan yang sebesar bandar Klang tetapi dihuni oleh 2.2 juta jiwa. Di sana ada orang-orang Islam yang begitu ramai, ada Kristian. Kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

“Setakat semalam 10,500 telah syahid separuh daripada angka itu adalah kanak-kanak. Satu pertiga daripadanya adalah kaum wanita dan orang tua. Seluruh umat Islam di dunia ini telah berhutang dengan mereka atas satu jumlah yang tidak dapat dinyatakan.

“Hutang ini akan kita bawa sampailah kita mati melainkan Allah mengetahui sama ada kita bersungguh-sungguh berusaha sedaya-upaya. Untuk menimbulkan kesedaran, kecintaan seluruh umat Islam dan umat manusia, untuk terus membantu saudara-mara kita di Gaza dan di seluruh Palestin.

“Kita harap dengan usaha kita yang berterusan usaha kita yang tidak terhenti-henti. Sama ada media sosial sama ada atas usaha kita di kariah di kampung, di surau kita di daerah, di pihak berkuasa tempatan, di tempat kerja, di dalam keluarga, kaum kerabat kita. 

“Sehinggalah ke peringkat kerajaan negeri ini atas usaha yang kita bersungguh-sungguh menjelang saat kematian kita. Allah tidak tayangkan jumlah hutang yang kita masih belum bayar kepada anak-anak kita di Palestin.

“Semoga usaha ini sekecil mana pun atas daya usaha kita bersungguh-sungguh Allah akan hapuskan rasa bersalah, rasa hiba yang terpaksa kita bawa akibat daripada kelemahan Islam di zaman kita menjadi pemimpin,” ujarnya.

Beliau menyampaikan pidato penuh semangat dan emosi itu pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin Negeri Kedah anjuran Yayasan Kedah Sejahtera di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Menurut beliau, Kerajaan Islam walau sehampir mana pun dengan Palestin setakat hari ini belum dapat menghulurkan bantuan yang memadai termasuk dari Persatuan-persatuan Liga Arab.

Kesali beliau, dia atas kegagalan itu, umat Islam menanggung dosa melainkan atas usaha bersungguh-sungguh untuk dipamerkan di hadapan Allah dengan segala kemampuan yang dimiliki.

Beliau menasihatkan seluruh umat Islam yang memiliki keupayaan kewangan untuk tidak terus menyimpan harta menjadi kedekut bakhil sebaliknya menjadi pemurah dengan rezeki Allah SWT kurniakan.

Sanusi berharap dengan sumbangan diberi bukan sahaja hasrat pembinaan hospital di Gaza dapat direalisasikan, malah Allah SWT berikan rezeki melimpah-ruah kepada negeri Kedah ini seluruhnya.

Pun begitu katanya, bagi mereka yang tidak berkemampuan daripada segi kewangan, beliau menyeru supaya mengelola usaha supaya lebih ramai lagi pihak lain mendukung solidariti dan sumbangan kepada Palestin.

“Dari tahun 1948 adalah tahun Nakbah sudah 75 tahun kita saksikan peristiwa yang tak pernah berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia, genosid, pembunuhan beramai-ramai, penyembelihan kanak-kanak wanita, orang tua, orang dewasa.

“Runtuhan bangunan kediaman, hospital dilakukan secara terbuka oleh Zionis-Israel. Disokong oleh Amerika, disokong oleh Britain dan beberapa negara lain. Di saat negara-negara umat Islam telah ditimpa penyakit wahan takut mati, cinta dunia. 

“Kerana itulah umat Islam di rata-rata dunia ini diratah seperti musuh yang meratah hidangan yang lazat jumlah kita yang ramai. Nabi kata seperti buih di laut tak ada guna sekupang pun. 

“Nabi sebut, kita telah ditimpa satu penyakit yang sedang kita hadapi ialah cintakan dunia, takutkan mati. Penyakit inilah yang telah melanda kita semua di seluruh dunia. Bermula daripada para pemimpin liga, kesatuan, negeri, negara.

“Sampailah kepada tiap-tiap orang umat Islam takutkan mati, cintakan dunia. Maka Nabi janjikan kita seumpama buih yang tak dak guna sekupang pun,” ujarnya menentukan kesedaran.

Beliau mengajak berazam dan menanam kesungguhan untuk menamatkan rasa cinta kepada dunia dan takutkan mati serta mengingati bahawa bumi Kedah juga pernah menerima kejahatan seperti itu dalam sejarahnya.

Menyifatkan mereka itu juga seperti Zionis, beliau menyingkap Perang Musuh Bisik tahun 1821 apabila 30,000 rakyat Kedah disembelih di Kota Kuala Muda terdiri dalam kalangan kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Anak-anak dihempas ke batu, para wanita mengandung dibelah perut, anak dilempar untuk makanan buaya. Orang lelaki dicincang, dibakar hidup-hidup berlaku 200 tahun dulu di Kedah Darul Aman, perbuatan oleh Siam.

“Ini ingatan yang perlu kita ambil. Musuh apabila mereka telah kuat mereka telah ada keupayaan mereka tidak akan membiarkan kita hidup senang lenang. Mereka akan berbuat sesuatu. 

“Maka dengan itu saya mengajak tuan-tuan di Kedah Darul Aman atas latar belakang apa sekalipun biar parti apa sekalipun, bangsa apa, kaum apa, agama apa, atas nama rakyat negeri Kedah Darul Aman, marilah kita bersatu padu bersungguh-sungguh.

“Hidup dalam keadaan harmoni, tolong-menolong dan menanam kecintaan yang tebal dan tinggi kepada negeri kita Kedah Darul Aman berdasarkan sejarah yang kita tak mahu berulang lagi negeri ini sepertimana sedang berulang di Palestin pada ketika ini,” ujarnya.

Katanya, dengan bersepaduan rakyat Kedah, kecintaan kepada negeri ini, akan jadikan semua peristiwa sejarah itu pedoman untuk bergerak ke depan dan tidak lama lagi dengan kesungguhan akan bangkitkan negeri ini menjadi ‘The Greater Kedah’.

Mengungkapkan rasa kecintaan mewakili rakyat Kedah kepada Palestin, Sanusi turut melontarkan peringatan kepada mereka yang masih curiga dan kesangsian terhadap solidariti kepada Palestin.

“Kamu ada rasa simpati kepada Zionis Israel, tetapi kamu mendiami tanah ini bersama-sama dengan kami. Kamu kami tidak akan biarkan begitu sahaja ada gangguan, ada cubaan untuk mengikis semangat kecintaan kami kepada saudara kami. 

“Kamu kami tidak akan biarkan. Kami telah mengenali muka kamu. Kami telah dapat cam setiap patah perkataan yang telah kamu ucapkan dan bakal kamu ucapkan. Kami tidak akan berdiam diri kepada kamu, awas!

“Kami telah mengenali kamu di sini tanah ini, negeri ini, negara ini adalah tempat untuk kami diami bersama orang-orang yang mencintai saudara kami. Kami sanggup berjihad, berjuang, bermati syahid demi Islam.

Insya-Allah untuk kamu yang bimbang dengan kami, awas kami akan sentiasa mengawasi kamu. Kurangkan keceluparan, fahami perasaan kami semua. Jangan kamu hanya mengharapkan kami memahami perasaan dan kebimbangan kamu kepada pistol air dan pistol mainan.

“Kamu juga untuk diam di sini bersama kami dalam keadaan aman dan harmoni. Kamu mesti mengasuh hati kamu untuk memahami perasaan kami juga,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -