Palestin: Pelik masih ada yang sokong Zionis Israel

- Advertisement -

SEMASA menulis catatan ini saya sedang menonton TV Al Jazeera. Jika ada masa terluang inilah saluran televisyen menjadi pilihan saya masa ini. Ulasan dan berita terkini berkaitan krisis Palestin-Israel menyebabkan saluran ini menjadi pilihan.

Isu pembentukan negara haram Israel dan pencerobohan terhadap Palestin bukan perkara baharu. Paling kurang penguasaan dan penjajahan haram Israel ke atas Palestin bermula pada tahun 1948. 75 tahun rakyat Palestin dalam kekejaman dan penindasan.

Pembunuhan, kekejaman dan kezaliman sentiasa berulang setiap masa. Paling kurang biasanya berlaku kekacauan besar setiap bulan Ramadan. 

Pergolakan dan peperangan sejak 7 Oktober 2023 agak besar. Peperangan bermula akibat serangan daripada pihak Palestin khususnya HAMAS.

Dimudahkan cerita, serangan HAMAS merupakan serangan balas untuk mempertahankan diri akibat kekejaman ke atas mereka sejak sekian lama.

Persoalan saya, masih adakah orang yang menyokong kekejaman Israel? Jawabnya ada. Dalam siaran TV Al Jazeera ditayangkan bagaimana masjid, gereja, hospital, ibu dan kanak-kanak serta orang awam di bom sesuka hati. Kematian dan kecederaan seolah-olah jadi kebiasaan harian mereka. Ibu bapa menangisi kematian anak.

Anak-anak menangisi kematian ibu bapa. Bayi yang baru lahir tiada bekalan oksigen. Paling menyayat hati anak yang masih berusia 7 bulan dalam keadaan (pramatang) terpaksa dikeluarkan daripada kandungan dan mereka tiada bantuan oksigen. Jahat memang jahat Israel.

Masyarakat dunia mengadakan himpunan mengecam Israel. Hampir semua bandar besar termasuk London yang saya yakin sebahagian besar mereka beragama Kristian berhimpun mengecam Israel. Peliknya masih ada manusia yang menyokong kejahatan Zionis Israel.

Wahai umat! Sedarlah Zionis Israel sangat kejam. Mereka sangat jahat dan tidak berperikemanusiaan. Ini bukan setakat krisis agama, tetapi krisis hak dan kemanusiaan. Siapa yang sokong kejahatan Zionis Israel, duduk dan berfikirlah kerana anda sedang menyokong kejahatan.

YB DR. ALIAKBAR GULASAN
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -