
ALOR SETAR: Kerajaan negeri sesekali tidak mengabaikan hak kaum India walaupun mereka merupakan golongan minoriti di Kedah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selaras dengan motto ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’, perhatian dan kebajikan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Kerajaan negeri sentiasa komited berusaha membawa kesejahteraan kepada rakyatnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama walaupun masyarakat India merupakan kaum minoriti di Kedah,” kata beliau pada perutusan Selamat Menyambut Deepavali kepada penganut agama Hindu, hari ini.
Rabu lalu, Sanusi mengumumkan kerajaan negeri menyediakan 1,200 bakul makanan untuk diedarkan ke 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Deepavali tahun ini.
Sumbangan berkenaan jelasnya melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000.
Di Kedah, terdapat 6.7 peratus penduduk beragama Hindu daripada jumlah keseluruhan 2.2 juta penduduk.
Dalam masa yang sama, beliau tidak lupa mengingatkan kepada anak-anak rantau yang pulang menyambut Deepavali di kampung halaman, agar berhati-hati ketika memandu.
“Berhati-hatilah dan jaga diri di mana jua anda berada agar kemeriahan Deepavali tidak dijejaskan dengan berita duka berkaitan kemalangan dan sebagainya,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/11/2023











