‘Self-centric’ punca Palestin dijajah, tidak terbela

Sanusi mahu umat Melayu-Islam sedar iktibar dan akibatnya

- Advertisement -

KEMAMAN: Dunia seluruhnya terutama dalam kalangan masyarakat sivil termasuk di Barat, baharu dapat melihat gambaran sebenar sejarah dan realiti semasa di Palestin, hanya selepas 75 tahun ia dizalimi.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi media sosial, perkara sebenar terjadi di Palestin itu dipaparkan hingga rakyat di Amerika dan Britain telah membuka mata.

Kini menurut Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, masyarakat di Barat mula menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengecam pendirian kerajaan mereka sendiri kerana memihak kepada Israel.

Perang Israel-Palestin ketika ini menurutnya, telah menyebabkan sekitar 10,500 syahid dalam kalangan warga sivil Palestin dengan sebahagian besarnya kanak-kanak dan kaum wanita serta warga emas.

“Mereka adalah penduduk rakyat Palestin yang terjajah 75 tahun dipenjarakan dalam satu penjara terbuka di Gaza dimuatkan di sana 2.2 juta orang. Tak boleh pi mana, kena duk dalam ni saja.

“Datang bom daripada jet-jet pengganas Israel menghentam kediaman, menghentam sekolah, pasar, masjid, rumah, hospital. Sebahagian besar korban masih tertimbus di bawah runtuhan rumah dan bangunan.

Lebih perit dan pedih katanya, apabila jiran-jiran Palestin dalam kalangan negara Arab dan semuanya beragama Islam tidak berani nak campur tangan, melainkan Yaman yang miskin dan berada sejauh 1,600 kilometer.

Yaman beritahu Sanusi, walaupun berdepan dengan peperangan saudara, tetapi telah bertindak berani apabila melancarkan peluru berpandu melintasi Arab Saudi untuk menyerang Israel.

“Selepas negara-negara umat Islam diberi kemerdekaan oleh penjajah, sama ada British, sama ada Perancis, negara-negara umat Islam pada waktu itu sekitar tahun 1940 telah bertungkus-lumus, berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan warganegara mereka.

“(Iaitu) Untuk membentuk sebuah pemerintahan sendiri untuk membebaskan diri daripada penjajahan. Waktu itu kepentingan diri dan puak, segala kepentingan lain diketepikan. Yang penting penjajah balik nanti, negeri ini kita memerintah sendiri. 

“Di negeri inilah, nasib anak bangsa. Kita tentukan sendiri. Dan di sinilah hidup. Di sinilah kita akan mati. Semua negara umat Islam mempunyai pemikiran yang sama. Untuk membebaskan diri daripada penjajah. 

“Termasuklah negara kita Malaysia, termasuklah jiran kita Indonesia. Daripada Belanda, kita daripada British. Sebahagian besar negara-negara Arab daripada British, sebahagiannya daripada Perancis. 

“Dalam tempoh 75 tahun di Palestin; pada tahun 1948 diberi kemerdekaan tetapi diberi negara Palestin kepada Israel didirikan sebuah negara haram di atas tanah orang lain. Wilayah-wilayah Arab dibahagi-bahagi diberi kepada kabilah-kabilah.

“Untuk membentuk sistem beraja di negeri itu. Maka timbullah UAE, Arab Saudi, Mesir yang lebih tua yang lebih lama, Yaman. UAE, Oman dibedak-bedak oleh British,” kupas beliau akan sejarah itu.

Menurutnya, disangkakan penjajahan yang begitu lama terhadap bangsa Arab dan umat Islam akan memberi pengajaran untuk membentuk kesatuan dan mengukuhkan kekuatan bagi menghadapi penjajahan bentuk baharu.

Di mana katanya, penjajahan baharu itu sudahpun dijangkakan pada waktu itu, tetapi malangnya semua negara Arab telah berubah menjadi ‘self-centric’ dan hanya mengutamakan kepentingan diri, kumpulan, kaum kerabat dan kabilah sendiri.

Manakala kepentingan umat Islam seluruhnya ujar Sanusi, diabaikan menyebabkan apabila Palestin dirampas tanahnya, pemimpinnya dipenjarakan, rakyatnya dihalau keluar, tidak ada negara yang peduli.

Sedangkan terdapat lebih 600 juta umat Islam di negara-negara Arab dan 300 juta lagi di rantau ini untuk tetapi tiada yang mengangkat tangan untuk bertindak ke atas Israel ketika itu.

“Kita telah menjadi ‘self-centric’ mengutamakan diri sendiri daripada memikirkan anak bangsa pada waktu ini dan nasib mereka pada masa depan. ‘Self-centric’ ataupun memelihara kepentingan diri inilah yang telah memusnahkan sebuah negara besar. 

“Negara yang begitu bersejarah di mana dimakamkan para Nabi, para Rasul di sana dimakamkan para Sahabat RA, para pendakwah, para mujahid, para mujtahid di Palestin tak ada siapa berani bela,” ujarnya menjelaskan akibat itu. – HARAKAHDAILY 11/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -