
UMAT Islam yang beriman haruslah berpegang teguh kepada al-Quran dan menjadikannya panduan utama dalam setiap aspek kehidupan.
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, membuatmu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al Maidah: 8)
Dalam ayat ini, Allah S.W.T menyeru kita untuk tetap berlaku adil sekalipun terhadap mereka yang tidak sehaluan. Jelas dalam ayat ini, ukuran takwa itu adalah pada berlaku adil.
Dalam konteks negara, prinsip ini harus diterapkan tanpa terkecuali, memastikan setiap rakyat mendapat peruntukan yang sama dari kerajaan, meskipun dikelola oleh parti yang berlainan.
Dalam beberapa siri perbincangan yang telah diadakan, Ahli Parlimen pembangkang disyaratkan untuk menyokong semua dasar kerajaan untuk diluluskan peruntukan. Syarat sebegitu pastilah sesuatu yang bercanggah dengan fungsi semak-imbang pembangkang.
Malangnya, peruntukan pembangkang terus menjadi ‘bargaining chip’ bagi Perdana Menteri ke-10 (PMX) memaksa pembangkang secara halus agar berpaling tadah menjadi penyokongnya.
Hatta bagi beberapa kawasan, peruntukan melalui jabatan dan agensi juga tidak diturunkan. Tindakan ini tidak hanya menyalahi prinsip asas sistem demokrasi dan federalisma, tetapi juga menghampiri garis intimidasi dan kezaliman serta mengancam kestabilan negara.
Contohilah jiwa besar Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan yang memberikan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira blok atau parti, tanpa perlu ‘berbincang’ yang sebenarnya hanya menanam tebu di bibir.
Negeri-negeri pembangkang tetap berlaku adil walaupun Kerajaan Persekutuan masih berdolak-dalik melangsaikan hutang RM1.43 bilion dan tidak menjelaskan bayaran penuh royalti kepada negeri-negeri pembangkang.
Takutlah kita membaca sabda Rasulullah S.A.W mengenai penguasa zalim yang akan menerima azab yang keras di hari kiamat yang bermaksud:
“Manusia yang akan mendapatkan azab yang paling keras pada hari kiamat adalah penguasa yang zalim.” (Adz-Dzahabi, Al-Kabair, I/25).
Allah juga memberi amaran kepada mereka yang melihat kezaliman ini tetapi mendiamkan diri tanda meredhai dan merestui kezaliman yang dilakukan:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 113)
Antara mereka di blok kerajaan yang pernah mencadangkan pemberian peruntukan yang adil kepada kepada semua wakil rakyat adalah almarhum YB Salahuddin Ayub dan YB Syed Saddiq.
Oleh itu, saya mengajak setiap individu untuk turut serta, menolak segala bentuk intimidasi dan kezaliman. Kita tidak mahu mewariskan ethos kebangsaan yang penuh dengan diskriminasi, ketidakadilan, dan penindasan kepada anak-anak kita.
Marilah kita berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan berpolitik secara matang untuk membina negara dengan landasan yang kukuh, di mana setiap warganegara diberikan hak dan perlindungan yang sama demi membina negara yang adil dan sejahtera.
YB USTAZ NUSHI DATO’ MAHFODZ
ADUN Selangor
N.24 Semenyih – HARAKAHDAILY 10/11/2023











