
KEMAMAN: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diambil tindakan iaitu digantung keahlian parti.
Ketua Penerangan BERSATU, Senator Dato’ Razali Idris berkata, keputusan itu tertakluk ke atas dua Ahli Parlimennya, manakala dua lagi akan diteliti perundangannya oleh PAS kerana bertanding atas watikah PAS.
Setakat ini empat Ahli Parlimen BERSATU berbuat demikian iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman.
Juga Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik di mana semua mereka turut mengikrarkan kononnya tidak berniat untuk keluar dan mengkhianati parti.
“Trend baru ya. (Kata) Menyokong PMX tapi masih mencintai, menyayangi BERSATU,” ujarnya pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Markas PAS UDM Bandar Sri Bandi, di sini hari ini.
Menurut beliau, undang-undang Dewan Rakyat menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri tidak dianggap melompat parti melainkan ia berpindah ke parti lain.
Jelas Razali, walaupun ramai yang mendesak pemecatan ke atas mereka itu hingga membidas Presiden BERSATU sebagai lembik, tetapi parti itu jauh mengambil keputusan gantung tersebut.
“Pasal dak (kenapa tak) pecat? Hok pecat itu dia nak sangat. Kalau kita pecat dia, dia akan jadi bebas dalam Parlimen. Lagi bagus, lebih baik kita gantung. Dia apabila kita gantung dia bebas pun dok (tak), kerajaan pun dok dalam BERSATU pun dok.
“Jadi dia akan pening. Lama-lama kita doa supaya dia letak jawatan dan kita adakan pilihan raya. Jadi kita gantunglah dulu. Gantung itu sebenarnya gantung tak bertali. Merana dia.
“BERSATU malu dengan PAS ni sebenarnya ni. Sebab PAS dah 50 tahun jadi pembangkang tak cerita pasal duit. Kita BERSATU baru tak sampai setahun jadi pembangkang dah cerita pasal kerana tak dak kewangan.
“Sanggup buat cerita yang khianat kepada parti. Jadi keputusan kita semalam adalah untuk saman. Untuk dakwa. Untuk buat repot polis pasal ada sogokan,” ujarnya memberitahu ada mereka itu ditawarkan RM6 juta.
Beritahunya, seorang daripada mereka itu juga berdepan kes diheret ke mahkamah di mana peguam PAS dan BERSATU telah memenangkan kes dan semua perkara tersebut menyebabkan BERSATU merasa malu dengan PAS. – HARAKAHDAILY 10/11/2023











