
DARIPADA Abu Umamah Al-Bahili R.A, daripada Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang bersabda yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya akan berlaku, dirungkai ikatan ajaran Islam satu demi satu. Maka apabila setiap satunya dirombak menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya. Simpulan pertama yang dirungkai adalah pelaksanaan hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirungkai adalah solat.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban)
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengulangi gesaan kepada seluruh umat Islam dalam negara ini supaya bersama-sama mempertahankan Undang-undang Syariah daripada terus dirobek oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Perkembangan mutakhir ini memperlihatkan ada usaha untuk meruntuhkan Undang-undang Syariah melalui jalan undang-undang. Satu demi satu kes yang dibentangkan di mahkamah termasuklah kes Nik Elin mengundang kepada implikasi yang besar terhadap keabsahan peruntukan enakmen jenayah syariah.
Kes Nik Elin melibatkan cabaran 20 peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan. Gambaran implikasi terhadap kes Nik Elin tersebut boleh menyebabkan Undang-undang Syariah tidak lagi absah sekali gus dalam masa yang sama mencabar kuasa DUN untuk menggubal enakmen jenayah syariah negeri.
Oleh yang demikian, DUPP menyeru seluruh umat Islam bersolidariti mempertahankan kepentingan Undang-undang Syariah serta memobilisasi kempen kesedaran umat Islam mengenai ancaman yang dihadapi oleh Undang-undang Syariah ketika ini.
DUPP turut menyokong Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pasca Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) untuk menubuhkan suatu jawatankuasa khas yang terdiri daripada golongan pakar mahupun pengamal undang-undang bagi menangani isu ini dengan lebih tuntas.
Walau bagaimanapun, kerajaan perlu bersikap proaktif menggerakkan jawatankuasa khas tersebut bagi meneroka ruang dan peluang mengharmonikan konflik bidang kuasa perundangan sivil dan syariah selain memperkukuhkan perundangan syariah daripada dicabar keabsahannya.
DUPP mengharapkan keseriusan kerajaan dengan pembentukan jawatankuasa khas berkenaan kerana ia tindakan yang substantif ke arah menyediakan jalan penyelesaian yang diharapkan. Ironinya sehingga kini masih tiada tindakan segera diambil oleh kerajaan.
Sekian.
YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
25 Rabiul Akhir 1445 Hijri | 9 November 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 9/11/2023











