Semak semula luas persegi Projek Perumahan Rakyat

- Advertisement -

PENGENALAN polisi baharu yang memperuntukkan keluasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) termasuklah Rumah Mesra Rakyat (RMR) hanya 750 kaki persegi, secara relatifnya adalah kurang kondusif untuk dihuni oleh sesebuah keluarga lebih-lebih lagi yang berkapasiti ramai iaitu pasangan suami isteri yang mempunyai lima orang anak atau lebih. 

Pengecilan saiz RMR sehingga 25 peratus iaitu daripada 1,000 kaki persegi kepada 750 kaki persegi akan menyebabkan ruang-ruang utama seperti ruang tamu dan dapur menjadi terhad dan sempit, sekali gus menjejaskan daya huni perumahan tersebut, seterusnya menimbulkan kesan rantaian yang membimbangkan.  

Suasana rumah yang tidak selesa untuk dihuni akan menyebabkan anak-anak remaja akan mencari keselesaan dan kepuasan di luar rumah yang akhirnya boleh mendorong kepada perlakuan-perlakuan sumbang, kegiatan-kegiatan sosial luar batasan serta aktiviti-aktiviti jenayah seperti penagihan dadah, lepak, jenayah juvana yang akan merosakkan masa depan mereka. 

Hal ini bertepatan dengan kajian oleh pakar akademik di bidang pembangunan sosial yang menyatakan bahawa persekitaran perumahan yang sesak memberi tekanan psikologi terhadap penghuni sekali gus menjejaskan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka. Selain itu, ia turut menjadi faktor anak-anak remaja mencari keseronokan di luar kerana tiada ruang privasi di rumah.

Meskipun peningkatan harga barangan pembinaan menjadi cabaran utama kerajaan dalam usaha mengekalkan harga rumah dengan spesifikasi asal, saya berpandangan bahawa kerajaan tidak sewenangnya berkompromi dan mengambil langkah mudah khususnya apabila ia berkait secara langsung dengan kesejahteraan mental dan fizikal rakyat.  

Oleh itu, besarlah harapan saya agar kerajaan bersedia menyemak semula keluasan persegi perumahan PPR khususnya Rumah Mesra Rakyat dan meletakkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan untuk diberi pertimbangan yang sewajarnya.  

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB DATO’ DR. HAJI ALIAS RAZAK
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -