
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani dianggap tidak serius menangani isu cabaran terhadap perundangan syariah yang dilakukan pihak tertentu sehingga dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan supaya kerajaan menjadi pencelah isu tersebut tidak mendapat maklum balas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Katanya, berdasar perkembangan yang berlaku didapati tindakan kerajaan begitu perlahan sedangkan cabaran terhadap perudangan syariah mengundang isu akidah.
“Pihak yang mencabar perundangan Islam begitu besar kerana ia melibatkan isu akidah dan bukan syariah semata-mata.
“Ini kerana Allah turunkan agama sekali dengan perundangan kerana ia melibatkan struktur asas Islam itu sendiri,” katanya selepas menerima memorandum diserahkan NGO Islam di hadapan Parlimen, hari ini.
Memorandum tersebut diserahkan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa kepada Tuan Ibrahim sebagai mewakili ahli parlimen pembangkang.
Hadir sama pelbagai NGO termasuk Pembela dan Gamis. Turut hadir pada majlis penyerahan memorandum itu ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) termasuk Datuk Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Sebelum ini, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mendapat kebenarah mahkamah untuk mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Kelantan.
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, dilaporkan mendakwa 20 peruntukan berkenaan adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.
Keputusan rayuan kes tersebut akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 20 November ini. Berikutan itu, kerajaan Kelantan akan menganjurkan Munajat Pertahan Syariah di Stadium Sultan Muhammad IV pada 18 November.
Manakala di Terengganu akan diadakan pada 16 November ini. Himpunan serupa akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 20 November.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tindakan mencabar perundangan syariah merupakan perkara besar yang ia turut melibatkan Raja-Raja sebagai pelindung agama Islam di peringkat negeri.
Menurutnya juga ketiadaan wakil daripada kerajaan hadir menerima memorandum tersebut amat mendukacitakan.
“Saya difahamkan surat makluman mengenai penyerahan memorandum sudah dibuat, setidak-tidaknya ada wakil daripada Pejabat Perdana Menteri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/11/2023











