Akta Pemajuan Rumah ketinggalan zaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan sama ada pemindaan Akta Pemajuan Rumah (Akta 118) turut mewajibkan kajian kedayahidupan dilakukan sebagai langkah pemantauan kebolehpasaran perumahan.

Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, ini kerana Akta 118 memerlukan penambahbaikan memandangkan akta itu adalah ketinggalan zaman.

- Advertisement -

Menurutnya, antara faktor banyak rumah tidak terjual adalah akibat kenaikan harga yang tinggi dan diikuti dengan kelemahan lokasi serta kekurangan akses kemudahan awam.

“Jadi soalan saya, apakah usaha kerajaan untuk meminda akta ini seperti mewajibkan kajian begini dan sentiasa menghantar laporan pemasaran kepada kerajaan sebagai langkah pemantauan kebolehpasaran sektor kediaman?” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula mekanisme bayaran rumah yang pembayaran hanya bermula selepas serahan kunci.

Selian itu, Wan Razali bertanya sama ada pemaju perumahan yang telah disenarai hitam yang memohon semula projek perumahan dengan syarikat perumahan lain dipantau oleh pihak kerajaan.

Bagi menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyatakan kajian itu sepatutnya dilakukan oleh pemaju perumahan sendiri.

“Dalam pengurusan industri perumahan, perkara yang paling asas yang kita kena tengok itu adalah data, maka sasarannya memang kita telah ada garis panduan untuk menyusun kaedah itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -