Zaman Covid-19 perlukan penerangan kepada rakyat

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) menegaskan bahawa ketika Yang Berhormat (YB) Pagoh menjadi Perdana Menteri adalah zaman negara dilanda pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, katanya perbelanjaan kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti adalah wajar bagi membolehkan kerajaan memberi pelbagai penerangan mengenai Covid-19 kepada rakyat dan bukan mengenai pencapaian kerajaan.

- Advertisement -

“Saya minta Yang Amat Berhormat (Tambun) memberikan pecahan perbelanjaan billboard (papan iklan) dan buku penerangan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Turut mengemukakan soalan tambahan ialah Dato’ Rosol Wahid (PN- Hulu Terengganu) yang bertanyakan jumlah perbelanjaan mempromosikan Kerajaan Madani selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Saya dapati ketika pergi ke Kuala Selangor, setiap satu kilometer ada gambar Perdana Menteri. Jadi berapakah yang dibelanjakan,” katanya.

Soalan asal ditanya oleh M Prabakaran (PH-Batu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian Kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital.

Dato’ Rosol Wahid

Perdana Menteri ketika menjawab soalan Saifuddin dan Rosol berkata, perbelanjaan untuk tujuan promosi kerajaan dan Perdana Menteri pada zamannya hanya meneruskan kontrak yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelumnya, iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengakui bahawa kerja penerangan berkaitan Covid-19 menjadi sebahagian daripada kerja-kerja promosi dan publisiti pada zaman kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Mengenai perbelanjaan sejak beliau menjadi Perdana Menteri, katanya kontrak baharu untuk tujuan itu tidak dibuat pada zamannya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -