Kerajaan Pusat perlu pastikan keselamatan ESSCOM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu terus menyalurkan peruntukan bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Sabah.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, penubuhan ESSCOM merupakan sesuatu yang amat berharga di Sabah dari sudut keselamatan perairan.

- Advertisement -

“Kita melihat berdasarkan siaran akhbar baru-baru ini…terdapat 40 kes ancaman penculikan yang berjaya ditumpaskan di perairan Sabah, maknanya Sabah masih terdedah kepada ancaman lanun, penculikan, penyeludupan manusia dan barang.

“Jadi kita harapkan aspek keselamatan akan terus diambil oleh kerajaan dan saya harap agar kementerian di bawah kepimpinan Yang Berhormat menteri akan terus memberi keutamaan terhadap keselamatan perairan di Sabah,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya sangat menitikberatkan kebajikan keluarga anggota di Sabah.

“Kementerian Dalam Negeri telah melakukan perolehan 60 unit pangsapuri di Lahad Datu kerana nilai hartanah (Lahad Datu) selepas 10 tahun keadaan.. kembali aman dan harganya tinggi tapi dengan kelulusan yang diberi kita telah melakukan perolehan.

“Jadi aspek kebajikan keluarga anggota juga sangat dititkberatkan kerana membolehkan suasana kerja yang lebih kondusif.

“Kawasan ESSCOM mempunyai potensi besar dari segi pelancongan dan rekod di ‘tangan saya’ menyaksikan kedatangan pelancong dari Eropah dan China terutamanya semakin menunjukkan trend meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -