Gesa kerajaan bendung kandungan LGBT di media sosial

- Advertisement -

SAYA bersyukur diberikan peluang untuk menyertai sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam bagi membahaskan peruntukan belanjawan Jabatan Perdana Menteri, khususnya berkenaan urusan hal ehwal agama Islam. Walaupun masa diberi agak singkat, saya berkesempatan dapat menyuarakan beberapa isu penting melibatkan gejala lesbian, gay, bisexual and transgender (LGBT) yang semakin menular di dalam negara kita.

Dalam ucapan tersebut saya telah menyebutkan bahawa kedudukan agama Islam selaku agama rasmi Persekutuan telah termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan. Ianya secara langsung mengesahkan betapa pentingnya nilai dan ajaran agama Islam di dalam negara kita. 

Selain dari ia melanggar fitrah manusiawi, Undang-undang Jenayah Syariah di setiap negeri di Malaysia juga dengan jelas menggariskan bahawa tindakan berunsur LGBT ini menyalahi undang-undang.

Bahkan, saya perhatikan budaya LGBT masih lagi dibincangkan dan dipromosi secara terbuka dalam media sosial terutamanya dalam Twitter atau lebih dikenali sebagai X pada waktu ini. Bahkan anak muda beragama Islam dengan mudah boleh terpengaruh dengan dakyah LGBT ini jika tiada usaha yang bersepadu bagi mengekang budaya ini lebih terdedah pada waktu ini.

Namun begitu, saya berpandangan bila mana media sosial yang dipegang oleh Barat ini dengan mudah menyekat mengenai isu kesengsaraan rakyat Palestin diserang rejim Zionis Israel pada waktu ini dalam kandungannya namun membiarkan isu LGBT menular tanpa sekatan. Bahkan, terdapat juga unsur LGBT ditayangkan di saluran-saluran penstriman media yang banyak di waktu ini umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. 

Saya berdiri di Dewan Rakyat semalam memohon jawapan dari kerajaan untuk mengetahui apakah tindakan kerajaan secara tegas dalam menangani isu LGBT yang dipromosi dalam media sosial ini pada jangka masa panjang. Kerisauan saya adalah jumlah penyokong dan pendukung LGBT ini akan bertambah saban hari berikutan tiada usaha secara berterusan dan komprehensif menangani isu ini.

Saya juga turut membangkitkan persoalan sama ada kerangka perundangan negara kita pada waktu ini masih terlalu lemah dalam menangani isu LGBT ini. Keyakinan saya jika berlakunya usaha untuk mereformasi undang-undang bagi menyekat pengaruh LGBT, semua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL akan berdiri teguh bagi memastikan undang-undang ini dapat diwartakan dan berfungsi seperti sepatutnya.

Akhir sekali, saya ingin menzahirkan kepada rakyat Malaysia bahawa usaha kita ini bukan semata-mata untuk menjaga generasi anak muda kita pada waktu ini, namun lebih kepada memastikan keharmonian dan ketenteraman fitrah manusiawi dalam negara kita terpelihara sehingga generasi akan datang.

“Malaysia Sejahtera”

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
7 November 2023 | 23 Rabiúlakhir 1445H – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -