
KUALA LUMPUR: Penggunaan varieti benih padi yang matang dan boleh dituai dalam tempoh kurang daripada 100 hari antara faktor utama dalam pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun (5M2T).
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sehingga ini, sebanyak 58 jenis varieti benih padi telah diisytiharkan, namun majoritinya hanya matang dan boleh dituai melebihi 100 hari.
Buat masa ini, katanya varieti benih padi MR 220 CL2 telah digunakan bagi projek rintis penanaman 5M2T memandangkan varieti padi tersebut mempunyai umur matang yang singkat iaitu seawal 105 hari dan mempunyai tahap kerintangan yang tinggi terhadap serangan penyakit tumbuhan dan makhluk perosak.
KPKM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Nazri dalam soalannya meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan spesis dan kriteria benih padi yang telah dipilih untuk projek penanaman padi lima kali dalam masa dua tahun dan unjuran perbelanjaan untuk peruntukan RM3 bilion yang diumumkan dalam peruntukan di bawah RMKe-12.
Menurut KPKM lagi, peruntukan sebanyak RM3 billion yang diumumkan oleh pihak kerajaan adalah bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda yang berkonsepkan kerjasama awam swasta (public private partnership).
Tambahnya, perolehan bagi projek itu dilaksanakan melalui kaedah Request For Proposal (RFP) yang diuruskan bersama di antara Unit Kerjasama Awam-Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan.
“Unjuran perbelanjaan bagi projek ini adalah tertakluk kepada rundingan bersama syarikat pembida yang berjaya berdasarkan kepada kaedah yang telah dipersetujui secara Bersama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023











