
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi ingin tahu mengenai status naik taraf jalan raya di daerah Kuala Langat.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status naik taraf jalan raya B5, B31 dan B32 kerana kualiti jalan raya yang uzur dan cat jalan yang pudar di samping tiada pencahayaan.
Menurut Menteri itu, berdasarkan pertanyaan laluan tersebut adalah FT5 Jalan Klang-Sepang sepanjang 55.7 km, FT31 Jalan Banting-Semenyih sepanjang 15 km, dan laluan FT 32 Jalan Labohan Dagang-Nilai sepanjang 10 km.
“Pada tahun 2020 hingga 2022, kementerian ini telah memperuntukkan sebanyak RM22.31 juta di bawah program penyengaraan berkala pavemen, berkala bukan pavemen, penyenggaraan jambatan serta penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK),” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, kerja-kerja penyenggaraan tersebut melibatkan 15 bilangan kerja berkala pavemen, 6 bilangan kerja bukan pavemen, 2 bilangan kerja penyenggaraan jambatan dan 10 bilangan kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di ketiga-tiga laluan tersebut dan semua kerja telah disiapkan sepenuhnya.
Tambahnya, berdasarkan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2023, kementerian itu telah mengenal pasti dan merancang 14 bilangan kerja berkala pavemen yang bernilai RM20.45 juta, 44 bilangan kerja berkala bukan pavemen dan jambatan yang bernilai RM26.77 juta dan 41 bilangan kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat yang bernilai RM7.6 juta bagi ketiga-tiga laluan tersebut.
Sehingga September 2023, ujarnya kementerian itu telah memperuntukkan sebanyak RM7.45 juta di bawah program penyengaraan berkala pavemen, berkala bukan pavemen dan penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK) di laluan-laluan yang dimaklumkan di atas.
Katanya, kerja-kerja penyenggaraan tersebut melibatkan 4 bilangan kerja berkala pavemen, 6 bilangan kerja bukan pavemen dan 9 bilangan kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat dan semua kerja dijangka siap pada Oktober 2023.
Di samping itu, jelasnya bagi APJ tahun 2024, jalan-jalan yang rosak akan dikenal pasti oleh pihak syarikat konsesi penyenggaraan jalan persekutuan yang dilantik dan pihak JKR akan menyediakan APJ bagi Tahun 2024 berdasarkan kerosakan jalan.
Walau bagaimanapun, katanya kelulusan kerja tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan serta senarai keutamaan kerja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan bagi Laluan-Laluan Persekutuan bawah seliaan kementerian itu. – HARAKAHDAILY 6/11/2023











