
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah dipersoalkan terhadap kenyataannya di luar dewan berhubung tindakan kepada isu ketidakhadiran Ahli-ahli Parlimen ke sesi persidangan.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) bertanya kehendak sebenar Parlimen dalam isu yang hangat dikenali umum dengan sindiran ‘MP Ponteng’ itu ketika sesi Perbahasan Bajet 2024 Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri, di sini sebentar tadi.
“Disebut tentang potong gaji ataupun meletakkan senarai nama (mereka yang tidak hadir) di dalam website, shaming them?” ujar beliau yang juga Naib Presiden BERSATU terhadap isu tersebut.
Beliau mahu kepastian sama ada tindakan tersebut tertakluk kepada kumpulan-kumpulan tertentu iaitu sama ada hanya pihak pembangkang, atau penyokong kerajaan, atau barisan eksekutif sendiri.
“Kerana kalau dilihat attendance, dia tidak boleh ada ‘segregation’ of MPs di kalangan eksekutif dan juga backbencher dan pembangkang,” tegas beliau yang berpengalaman di Parlimen sejak 23 tahun dahulu.
Tegas beliau, hal mengenai kehadiran tersebut perlu dibincangkan Speaker secara terperinci dengan Ahli Dewan dan bukannya unilateral, termasuk melibatkan Jawatankuasa Dewan.
Ronald mengemukakan Peraturan Mesyuarat perkara 13 yang merujuk kepada hal kedatangan di mana ia tidak ketat hingga boleh bersidang dengan tiga Ahli Dewan sekiranya dimaklum kepada Speaker dan jika kurang daripada 26 Ahli Dewan barulah ditentukan.
“Jadi maknanya dalam Peraturan Mesyuarat ini, isu korum, isu kehadiran telah pun di address, tetapi tidak secara rigid seperti yang dikehendaki oleh Speaker,” ujarnya bersoal sama ada Speaker mahu semua 222 Ahli Dewan hadir.
Menurut beliau, selama ini isu tersebut tidak pernah diperbesarkan kerana menyedari keperluan misalnya di pihak eksekutif untuk memenuhi jadual kerajaan, tetapi hadir pada waktu-waktu yang dikehendaki.
Namun kesalinya, perkara yang terjadi mutakhir ini adalah apabila Menteri dan Timbalan Menteri berkenaan tidak hadir bagi penggulungan peringkat dasar bajet dan menjawab soalan-soalan dikemukakan.
“Sebahagian daripada tugas mereka (eksekutif) juga ada di luar sana dan sebab itu dalam Peraturan Mesyuarat ia (kehadiran) relaks on this, tetapi saya tahu kebertanggungjawab Ahli Parlimen untuk hadir Parlimen.
“Saya setuju bahawa semua Ahli Parlimen mesti hadir Parlimen. Tetapi kehadiran juga subjektif Tan Sri Pengerusi kerana Ahli Parlimen boleh duduk satu minit sini dan keluar dan pulang juga consider sebagai hadir dalam Dewan.
“So how do you find kehadiran satu minit duduk sini pun boleh dikira sebagai hadir orang yang duduk yang datang Parlimen satu minit dan pulang tidak terlibat dalam perbahasan juga. Sebab itu kita kena define dalam melihat isu ini.
“So bila Speaker sendiri membuat kenyataan di luar sana, isu ini menjadi panas dan kita Ahli-ahli Parlimen dilihat sebagai ponteng Parlimen tanpa sebab dan dilihat kita sebagai tidak mewakili kehendak rakyat yang kita wakili,” hujahnya.
Tan Sri Johari bagaimanapun menolak bahawa kenyataan beliau itu sebagai ‘memalukan’ Ahli Parlimen, namun dibalas Dato’ Seri Ronald bahawa itulah interpretasi rakyat apabila isu tersebut dinyatakan Speaker di luar Dewan. – HARAKAHDAILY 6/11/2023











