
KUALA LUMPUR: Kemelut ekonomi akibat kenaikan harga barang keperluan dan pemansuhan subsidi menyebabkan golongan mahasiswa juga turut terkesan.
Perkara itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan inisiatif kementerian bagi membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa khususnya dari keluarga B40 yang turut menjadi mangsa kemelut ekonomi akibat lonjakan harga barang keperluan dan pemansuhan subsidi.
Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat yang mula bersidang pada jam 10.00 pagi ini.
Berikut ialah soalan-soalan daripada ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan hari ini.
Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Ekonomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonom Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah hala tuju Kerajaan Persekutuan terhadap sistem RFID di semua lebuh raya dan apakah usaha untuk menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya.
Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan perancangan Kementerian dalam memartabatkan kesenian dan kelestarian kebudayaan bercirikan Malaysia khususnya pada Tahun Melawat Perlis 2024.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan pendirian Kerajaan terhadap pelaburan China di Malaysia khususnya menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mengambil kira prospek risiko tersembunyi pinjaman dan implikasi jangka panjang seperti kos alam sekitar, potensi ‘perangkap hutang’ serta risiko terhadap kedaulatan negara.
Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Kerja Raya menyatakan komitmen Kerajaan terhadap projek menaik taraf jalan dari Jambatan Sungai Durian FT175 ke Simpang ke Kota Putra, Durian Burung, daerah Padang Terap, Kedah yang telah ditetapkan pada Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk dimasukkan pada Rolling Plan 5 (RP5).
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan strategi dan tindakan yang diambil oleh Kementerian untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah Menteri berhasrat mewujudkan IPT di Gerik memandangkan ia mempunyai kawasan yang luas bagi tujuan penempatan dan pembangunan kampus. Gerik juga terletak di tengah-tengah jalan utama yang menghubungkan negeri-negeri di pantai barat, negeri di sebelah utara negara dan juga bersempadanan antarabangsa dengan negara Thailand.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan perkembangan pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) dan bilakah ia dijangka siap sepenuhnya.
Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kementerian masih menganggap pekerja asing sebagai isu paling utama dalam sektor pekerjaan negara atau Kementerian mempunyai pandangan dan perancangan yang lebih komprehensif dan progresif.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah drastik, jangka pendek dan panjang pihak Kementerian untuk mengawal harga beras yang semakin meningkat serta kekurangan beras tempatan di pasaran.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan apakah tindakan Kementerian dalam mempromosikan dan mempelbagaikan aktiviti pelancongan di pesisiran Sungai Kuantan dan Sungai Pahang.
Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan:
(a) status pelaksanaan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok; dan
(b) status pembinaan sistem bekalan air luar bandar (BALB) Kampung Pengkalan Nangka dan kawasan Tumpat, Kelantan yang telah diluluskan oleh Kementerian di bawah permohonan Rolling Plan 4.
Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Kerja Raya menyatakan sejauh mana pelaksanaan projek menaik taraf jalan-jalan penempatan FELDA dan jalan-jalan ladang milik peneroka yang mengalami kerosakan di negeri Johor khasnya jalan-jalan ladang dalam kawasan FELDA Tenggaroh Timur 1, Mersing.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah asas-asas yang digunakan dalam mensasarkan pelaburan swasta purata RM300 Billion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.
Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan pecahan pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang TVET seterusnya mendapat pekerjaan dan apakah kaedah atau mekanisme bagi memantau kadar kebolehpasaran pelajar bidang kemahiran di negara ini.
Dato’ Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman [Labuan] minta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimanakah Dasar Gaji Progresif yang akan dijalankan secara sukarela akan memberi impak yang positif kepada gaji pekerja sedangkan sasaran gaji penengah pekerja untuk tahun 2025 telah berkurangan dari RM2,900 sebulan di dalam RMKe-12 kepada RM2,700 sebulan di dalam KSP RMKe-12.
Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan adakah Kementerian Pengajian Tinggi menghalang penglibatan universiti, politeknik dan kolej komuniti untuk melibatkan diri dalam program-program Kerajaan negeri pembangkang.
Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan senarai projek tuntas mitigasi banjir di Kapar (semua DUN) termasuk kos dan garis masa serta pencapaian semasa.
Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan inisiatif Kementerian bagi membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa khususnya dari keluarga B40 yang turut menjadi mangsa kemelut ekonomi akibat lonjakan harga barang keperluan dan pemansuhan subsidi.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan:
(a) spesis dan kriteria benih padi yang telah dipilih untuk projek penanaman padi 5 kali dalam masa 2 tahun; dan
(b) unjuran perbelanjaan untuk peruntukan RM3 bilion yang diumumkan dalam peruntukan di bawah RMK-12.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Ekonomi menyatakan:
(a) status terkini perolehan dan tarikh permulaan pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) akan dimulakan memandangkan kini ia telah melebihi suku kedua 2023 dan ia merupakan satu projek yang akan memberi impak besar kepada negeri Kelantan; dan
(b) berapa kos tambahan yang terpaksa ditanggung akibat kelewatan ini.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mewujudkan peluang pelaburan seperti membuka kilang-kilang atau industri di Parlimen Maran bagi memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta meningkatkan sosioekonomi.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status naik taraf jalan raya di daerah Kuala Langat (B5, B31 dan B32) kerana kualiti jalan raya yang uzur dan cat jalan yang pudar di samping tiada pencahayaan.
Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan penjelasan isu halangan pelajar universiti untuk turun ke program anjuran pejabat Exco Kerajaan Negeri seperti yang berlaku di negeri Kedah.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan dilaksanakan oleh Kementerian dalam menghadapi masalah kekurangan beras tempatan di pasaran. – HARAKAHDAILY 6/11/2023











