Beri perhatian pembangunan jalan raya Padang Terap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap Jalan Persekutuan di daerah Padang Terap untuk memastikan pembangunan di kawasan sempadan Malaysia Thailand berjalan dengan baik.

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, nilai perdagangan Malaysia-Thailand mencecah hampir RM112 bilion pada tahun lepas.

- Advertisement -

Katanya, permohonan Jalan Persekutuan di FD175 sering dibangkitkan kerana Padang Terap merupakan daerah sempadan Malaysia dan Thailand.

“Kalau permohonan ini diluluskan dalam Rolling Plan 5, apakah jaminan kementerian untuk memastikan kualiti jalan setanding dengan negara yang lain.

“Ini kerana kita melihat ada laporan pada tahun lepas yang meletakkan kualiti jalan Malaysia di tangga ke-12 paling buruk,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, permohonan negeri perlu melalui beberapa tapisan.

“Dari segi permohonan, kita mempunyai prosedur tertentu dan kami di kementerian tidak menjadi masalah kepada setiap permohonan yang dikemukakan oleh ahli yang berhormat.

“Ini kerana sudah semestinya permohonan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Mengenai standard kualiti jalan yang akan dibina jika diluluskan, beliau berkata, sudah pasti JKR mempunyai satu garis panduan yang perlu dipatuhi dengan komitmen untuk membina jalan terbaik.

“Faktor kerosakan jalan tidak terletak di bahu kementerian sahaja. Sebab itu sering saya bangkitkan bahawa keadaan jalan kita mempunyai ketahanan hingga 45 tan, tetapi ada kenderaan membawa muatan dengan berat melebihi 60 tan. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -