Bersatu gantung keahlian Iskandar Dzulkarnain 4 tahun

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahlian Bersatu selama empat tahun berkuatkuasa semalam.

- Advertisement -

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini, malam ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu telah bersidang  semalam bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan oleh Iskandar Dzulkarnain yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar.

Jelasnya, setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.

“Sehubungan dengan itu, YB Datuk Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuatkuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Larut.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 4/11/2023

- Advertisement -