
KUALA LUMPUR: Isu Palestin dilihat menjadi malapetaka kepada kerajaan kerana dilihat adanya perpecahan dalam kalangan parti-parti gabungan, demikian kata Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri menurutnya, menyatakan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah-sekolah telahpun dibincangkan dan dipersetujui dalam Kabinet.
Tiba-tiba katanya, kalangan mereka sendiri terutama daripada PKR dan DAP membangkang kepada persetujuan tersebut, sekali gus memperlihatkan masalah sesama mereka kepada umum.
“Maka sebab itu saya kata minta salah seorang daripada Ahli Parlimen, bawa usul supaya kita bincang dalam Parlimen supaya jelas. Tak ada lagilah perang-perang sesama mereka. Kami di Perikatan Nasional (PN) tak ada (bantahan) solid (semua sokong Palestin),” ujarnya.
Hamzah bahkan menyatakan sokongannya untuk Anwar membawa usul atau penerangan mengenai Palestin kerana ia adalah sesuatu yang dahulunya menjadi penetapan telah sedia dibuat oleh Kerajaan Malaysia.
Jelas beliau, Malaysia akan sentiasa bersama dengan Palestin di mana solidariti ini adalah sesuatu yang telah dibawa oleh kerajaan daripada dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya.
“Hari ni kerajaan yang ada hari ni berpecah, berperang sesama sendiri. Sebab itu kita minta supaya macam bawa usul ini dan saya minta supaya dia jelaskan secara detail mengapa perlu untuk kita bawakan usul Palestin ini secara yang lebih jelas,” ujarnya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian pada sidang media Ahli-ahli Parlimen PN selepas daripada mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Perikatan Nasional, di sini tengah hari tadi.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam pada itu menyatakan, usul mengenai Palestin bukanlah perkara baharu di mana Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga pernah kemukakan semasa Kerajaan Barisan Nasional.
Menurutnya, Najib ketika itu lebih tegas dan berani di mana telah mengecam jenayah perang, apatah lagi usul tersebut bersifat fundamental kerana turut dibuat oleh Parlimen di negara-negara lain seperti Sepanyol dan Brazil.
Timbalan Ketua Pemuda PN itu juga melahirkan rasa hairan dengan ralat dalam kepala Anwar apabila Perdana Menteri itu menyatakan untuk rakyat Palestin dibawa keluar daripada Gaza.
Kesali beliau, kenyataan tersebut malah dikatakan pendirian kerajaan kini sebagaimana dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan tentunya pendirian Kabinet itu menjadi dasar luar Malaysia.
Namun kata Ahmad Fayhsal, pendirian itu sebenarnya mengiyakan perancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyebabkan terlampau banyak kekeliruan mulai timbul.
Begitu juga bidasnya, kejadian salah faham dan salah maklumat sehingga berlaku larangan doa qunut nazilah dan takbir serta lain-lain. – HARAKAHDAILY 3/11/2023











