Sivakumar beri keterangan kepada PAC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, memanggil Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, untuk memberi keterangan mengenai HRD Corp.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kehadiran Sivakumar adalah berkaitan prosiding Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan prosiding pertama diadakan pada 23 Oktober lalu.

- Advertisement -

Setakat ini, katanya empat saksi hadir bagi memberikan keterangan dan penjelasan kepada PAC, iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Antarabangsa) KSM, DatukAmran Ahmad dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Dua orang lagi ialah mantan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Rosli Yaakob dan Datuk Grace Chia Hui Yen.

Mas Ermieyati sebelum ini dilaporkan berkata, PAC memutuskan bahawa dua lagi prosiding diadakan iaitu pada hari ini dan semalam.

Menurutnya, saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan dan penjelasan pada prosiding semalam ialah wakil dari Kementerian Kewangan dalam HRD Corp.

“Keesokan hari pada 2 November 2023, Khamis (hari ini), PAC akan mendengar keterangan Menteri Sumber Manusia. Keputusan memanggil kedua-dua saksi ini kerana nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka,” katannya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan berhubung perkara ini. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -