Sejauh mana Lembaga Pengampunan rujuk keluarga mangsa

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membangkitkan berkenaan Lembaga Pengampunan dan keluarga mangsa.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana kesediaan kerajaan supaya Lembaga Pengampunan merujuk terlebih dahulu kepada ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan keizinan pengampunan sebelum keputusan ditetapkan.

Beliau yang juga Presiden PAS mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Berikut ialah soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Waktu Pertanyaan Menteri

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Kesihatan menyatakan pendirian Kementerian berhubung isu Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) yang perlu diputuskan sama ada diratifikasi atau ditolak sebelum 1 Disember ini.

Pertanyaan Bagi Jawab Lisan

Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) [Lumut] minta Menteri Pertahanan menyatakan perancangan masa hadapan pihak Kementerian Pertahanan bagi kerja-kerja pemetaan dasar laut oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN) sedangkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah melucut tauliah Kapal Diraja (KD) Mutiara pada tahun 2018 yang lalu.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan berapa jumlah peruntukan membaiki dan pembinaan rumah baru bagi penduduk miskin bandar serta pecahan mengikut kaum di Malaysia.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan cadangan membina fasiliti sukan memanah profesional di daerah Pengkalan Hulu memandangkan daerah Hulu Perak suatu ketika dahulu melahirkan lebih 10 orang atlit sukan memanah kebangsaan.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan berapa lama tempoh yang diperlukan oleh pihak Kementerian agar capaian internet dan liputan telekomunikasi di Kuala Krau dapat diperbaiki terutamanya di kawasan pedalaman seperti Kerdau.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan langkah mengatasi kesan negatif daripada teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) contohnya penipuan maklumat, berita palsu dan deepfake.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan penjelasan daripada Kementerian Pertahanan mengenai situasi di Pangkalan Udara (PU) Sendayan yang masih tidak mempunyai kemudahan landasan kapal terbang. Apakah ada perancangan masa hadapan untuk Kementerian membina landasan kapal terbang di PU Sendayan sebagaimana kemudahan landasan kapal terbang yang pernah wujud di Pangkalan Udara Sungai Besi suatu ketika dahulu.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan perancangan dan tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil oleh Kementerian bagi memastikan kejayaan Malaysia dalam sukan SEA yang akan datang setelah dakwaan Menteri yang mengaitkan pertukaran menteri sepanjang empat tahun telah menyebabkan dasar-dasar sukan negara menjadi tidak menentu dan menjadi antara penyebab kegagalan Kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada sukan SEA 2023.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan perancangan Kementerian untuk menaik taraf akses dan kapasiti capaian jalur lebar bagi Daerah Machang. Untuk makluman YB Menteri, Daerah Machang adalah pusat ilmu yang mempunyai cawangan UiTM, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah-sekolah agama rakyat. Mereka memerlukan capaian internet yang baik untuk pendidikan yang sempurna. Begitu juga kawasan seperti di Bukit Tiu dan beberapa kawasan.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Perdana Menteri menyatakan perancangan seterusnya bagi mengatasi masalah struktur bangunan Masjid Jamek Al-Istiqlal, Taman Mewah yang semakin tidak selamat untuk digunakan sebagai tempat beribadat orang Islam. Adakah mahu menunggu kemalangan jiwa barulah tindakan daripada Kerajaan diambil.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan usaha-usaha Kementerian bersama dengan pengurusan FELDA dan peneroka untuk mencapai sasaran sekurang- kurangnya 8 tan hasil bagi tempoh satu bulan.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah tegas yang telah diambil oleh Kerajaan khususnya dalam menangani isu kos sara hidup dan inflasi secara menyeluruh.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan senarai syarikat yang diberikan secara tender terus bagi projek-projek yang melibatkan agensi-agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan berapa nilai siling yang ditetapkan.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan kesediaan Kerajaan dalam melaksanakan janji manifesto Pakatan Harapan berkenaan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwi-partisan dan mekanisme untuk memastikan badan penguatkuasa tersebut bertindak secara bebas dan adil.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana Kerajaan Persekutuan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan peruntukan kawasan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti yang akan disalurkan terus melalui Parlimen Malaysia dan bukannya dari pejabat Perdana Menteri.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana Kementerian berhasrat memasukkan inovasi perumahan China ke dalam sektor perumahan negara dan adakah inovasi tersebut bersesuaian dengan spesifikasi perumahan semasa negara.       

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Perdana Menteri menyatakan bilakah kerajaan akan:

(a) meluluskan elaun seberang laut bagi penjawat awam yang bekerja di Langkawi dan menyediakan ambulans laut bagi kegunaan penduduk Pulau Tuba; dan

(b) menyelesaikan masalah perkhidmatan feri di Langkawi seperti mana YAB Perdana Menteri berjanji ketika kempen PRN di Langkawi.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status Projek Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Balah, Jeli, Kelantan yang telah diluluskan oleh Kerajaan sebelum ini.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan langkah Kerajaan untuk memastikan pematuhan terhadap syariat Islam yang menyeluruh merentasi bidang Kementerian seperti dalam sektor pembiayaan kewangan atas talian, kod etika pakaian ke agensi Kerajaan dan sebagainya.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian terkini Kerajaan Persekutuan terhadap penglibatan dan hubungan agensi-agensi Persekutuan dengan aktiviti dan mesyuarat yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan agensi-agensinya.         

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan untuk menghalang penyalahgunaan jentera Kerajaan, termasuklah penggunaan premis sekolah, kenderaan rasmi, dan helikopter, dalam tempoh sebelum dan semasa kempen pilihan raya sedang berlangsung, sebagaimana teguran oleh pihak BERSIH.   

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan adakah Kementerian mempunyai keupayaan teknologi untuk meneroka tenaga nuklear (R&D) bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik sekaligus dapat menggantikan bahan api fosil untuk menjana tenaga elektrik melalui kaedah konvensional.   

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [ Kepala Batas ] minta PERDANA MENTERI menyatakan:

(a) apakah dasar Tabung Haji dalam mengisi kuota jemaah Haji; dan

(b) memandangkan pengkelasan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 ini amat lemah dari segi tafsiran dan kebolehgunaan dalam urusan ketelusan bantuan subsidi, justeru apakah kaedah Tabung Haji dalam memperincikan hal ini.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan adakah pihak Kementerian dapat menyalurkan peruntukan bagi menyediakan kemudahan tempat penonton dan bilik persalinan pemain di Kompleks Sukan Kangar memandangkan sambutan anak muda amat hebat ketika Kejohanan Bola Sepak Liga Super Perlis.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan adakah FELDA berhasrat untuk memberi peruntukan tetap sama ada secara bulanan ataupun tahunan khusus kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA di setiap tanah rancangan FELDA yang rata-rata amat daif, terutamanya di Parlimen Kuala Krau.

Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) [Lumut] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah terdapat rancangan untuk memberi bantuan kewangan insentif secara one-off sebanyak RM500 (2 kali bayaran) kepada penerima-penerima Pingat Jasa Malaysia memandangkan ini adalah satu pengiktirafan negara kepada veteran ATM di atas sifat keperwiraan dan pengorbanan di zaman ancaman pengganas komunis.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana kesediaan Kerajaan supaya Lembaga Pengampunan merujuk terlebih dahulu kepada ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan keizinan pengampunan sebelum keputusan ditetapkan.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan status pembinaan kompleks belia dan sukan negeri Pahang:

(a) apakah punca kelewatan projek ini; dan

(b) garis masa projek ini akan disiapkan dan implikasi kewangan tambahan.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah tindakan Kerajaan dalam memastikan tatakelola yang progresif untuk anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) supaya tidak mengalami kerugian seperti tahun-tahun terdahulu.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan menyatakan jumlah projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dan perancangan Kerajaan untuk memulihkan projek perumahan sakit yang telah menjejaskan peluang rakyat untuk mendapatkan rumah mampu milik. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -