Menteri Pendidikan tak perlu melankolik, apologetik

Minggu Solidariti Palestin

- Advertisement -

BERJARAK biarpun lebih 4,000 kilometer dari negara kita, bahkan tidak terlihat di pandangan mata, namun bumi Palestin ternyata dekat di hati rakyat Malaysia.

Kempen solidariti yang diadakan dengan pelbagai acara jelas menyerlahkan bahawa setiap lapisan warga seakan tersentuh ibarat ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa’.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut tidak ketinggalan menyemarakkan kempen menerusi Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Namun, aksi pelajar-pelajar di sebuah sekolah tampil dengan senjata mainan telah ‘mencemaskan’ beberapa politikus yang memberi reaksi kecaman dan desakan untuk kempen itu dihentikan.

Nah! Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Lalu sebagai tindak balas segera dalam menangani hal itu, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menotiskan Do’s & Dont’s untuk acara itu dianjurkan.

Terima kasih kerana membenarkan dan tidak tunduk kepada desakan pihak berkenaan. Namun, YB Fadhlina tidak sepatutnya dilihat melankolik dan apologetik. Do’s & Dont’s anda lebih terserlah ragu-ragu berbanding kepastian.

Untuk apa skeptikal dan momokan negatif seperti terma ‘retorik ekstremis’; ‘menyalahkan agama’; ‘manipulasi fakta’; ‘konfrontasi’; ‘politik partisan’; dan ‘kontroversi’ dinyatakan? Kerana malangnya ia dilihat ditujukan kepada pihak Palestin atau yang menyokongnya.

Hakikatnya, semua terma itu jelas sejelas-jelasnya adalah perlakuan, watak dan sifat yang berada di pihak Zionis-Israel laknatullah. Amat-amat tidak perlu konotasi buruk seperti itu cuba dikaitkan ke pihak Palestin.

Ya, Palestin dan semua pihak yang bersolidariti dengannya mungkin tidak sempurna. Tetapi jika pun tidak dapat membentengi mereka dari bom dan peluru, cukuplah tidak membaurkan Palestin dengan nada negatif.

Paling penting juga, tidak ada ragu-ragu untuk mengesah dan melaungkan dengan pasti bahawa Zionis-Israel adalah paksi kejahatan di atas muka bumi ini yang sedang melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -