
PERTEMPURAN antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera rejim zionis Israel dilaporkan semakin sengit setelah tentera rejim zionis Israel memulakan operasi ketenteraan daratnya ke atas Semenanjung Gaza.
Dilaporkan pertempuran sengit berlaku setelah kereta kebal dan perisai yang membawa tentera rejim Israel mula memasuki Semenanjung Gaza dari arah utara, selatan dan barat laut seterusnya menghala ke Eres, Beit Hanoun, Khanyounis dan Al-Tawam yang kemudiannya berlakunya serangan balas roket, artileri dan tembak-menembak dengan kumpulan pejuang Palestin berjaya melakukan beberapa serangan hendap (ambush) yang menumpaskan kumpulan-kumpulan tentera rejim Israel serta serangan mortar dan roket yang telah berjaya merosak dan meranapkan kereta kebal dan perisai tentera rejim zionis Israel.
Dilaporkan saat ini pertempuran antara kumpulan pejuang Palestin dengan tentera rejim Israel semakin bertambah sengit di beberapa kawasan di luar bandar-bandar utama di Semenanjung Gaza.
2. Angka korban di kalangan warga Semenanjung Gaza akibat serangan udara dan pengeboman ganas tentera rejim zionis Israel terus meningkat kepada 8,285 orang termasuk 3,542 kanak-kanak dan 2,187 wanita.
3. Tentera rejim zionis Israel bermula malam semalam hingga saat ini terus melancarkan serangan udara dan pengeboman ganas dengan menyasarkan kawasan dan bandar di Semenanjung Gaza seperti bandar Gaza termasuk kejiranan Sabra, Al-Zaiton, Zawaida dan Asquola, Beit Lahia, Shujaia, Rafah, Tel-Hawa, Jabalia dan Khanyounis dengan semalam sahaja sebanyak 300 kawasan menjadi sasaran pengeboman tentera rejim zionis Israel.
4. Kumpulan pejuang Palestin terus melancarkan serangan roket ke atas wilayah dan bandar yang dijajah regim zionis Israel seperti di Tel Aviv, Ghosh Dan, Naqab, Beer Al-Saba, Ashkol, Karam Abu Salem, Nir Isaac, Kisofim, Asqlan, Netiv Haasara, Siderot, Karama, Ashdoud dan Kibots Nirim termasuk kedudukan dan pengkalan tentera rejim zionis Israel di Nevatem, Nir Oz, Raim, Sofa, Holit dan Mars serta Lapangan Terbang Antarabangsa Ilan dan Asaf Ramon di Eilat.
5. Tentera rejim zionis menyatakan ia telah berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah di Laut Merah dan rejim zionis Israel sedang berkira-kira untuk bertindakbalas terhadap kumpulan Houthi berikutan serangan peluru berpandu yang disasarkan ke atas bandar Eilat di selatan Negev.
6. Pertempuran sengit terus berlaku antara kumpulan pejuang dan anak muda Palestin dengan tentera rejim zionis Israel di wilayah dan bandar di Tebing Barat seperti di Tubas, Baitul Laham, Jerusalem, Jenin dan Tulkarm.
7. Tentera rejim zionis Israel bermula semalam hingga pagi tadi meneruskan operasi menahan warga Palestin di Tebing Barat dengan menahan seramai 35 orang di sekitar Tebing Barat.
8. Tentera rejim zionis Israel terus melancarkan serangan udara ke atas wilayah dan bandar di selatan Lubnan sebagai membalas serangan roket dan mortar tentera Hizbullah ke atas kedudukan dan pengkalan tentera rejim zionis Israel di wilayah yang dijajahnya di selatan Lubnan.
9. Serangan udara tentera rejim zionis Israel terus menyasarkan kawasan di sekitar dan perkarangan hospital-hospital di Semenanjung Gaza seperti Turkish Friendship Hospital dan Hospital Indonesia yang telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan yang mampu menjejaskan operasi hospital terbabit.
10. Berikutan tiada satu pun bekalan petroleum yang sama-sama masuk bersama bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Semenanjung Gaza, generator di beberapa buah hospital dijangka akan berhenti esok berikutan tiada lagi bekalan petroleum.
11. Duta China ke PBB dalam kenyataannya di mesyuarat Majlis Keselamatan PBB menggesa rejim zionis Israel sebagai kuasa penjajah agar menamatkan kepungan mahupun sekatan ke atas Gaza dengan segera.
12. Menteri Luar Iran Amir Hossein Abdollahain berkata keberadaan tentera Amerika Syarikat di negara haram Israel telah ‘melebihi’ peranannya sebagai ‘perunding’ mahupun penasihat.
13. Al-Jazeera menyatakan sistem operasi dan jaringan laman webnya sedang menghadapi serangan siber dan digodam bertujuan untuk melumpuhkan siaran medianya berikutan liputan mengenai peperangan dan apa yang sebenarnya berlaku di Gaza.
14. Pelajar-pelajar sekolah di bandar Sila Al-Dhuhr, Jenin telah mengadakan solat jenazah ghaib buat warga Semenanjung Gaza yang terkorban berikutan serangan udara dan pengeboman ganas tentera rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza.
15. Demonstrasi besar-besar yang menyokong perjuangan rakyat Palestin terus berlaku di bandar-bandar utama di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat, Poland dan Ireland.
Selamatkan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin.
YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 31/10/2023











