
KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata beliau akan berkhidmat bagi meneruskan perjuangan PAS bersama saf kepemimpinan yang ada.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu memberitahu beliau dimaklumkan berhubung pelantikan jawatan berkenaan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Jawatankuasa PAS Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya.
“Sebagai ahli parti, saya sedia berkhidmat kepada parti bagi meneruskan perjuangan PAS bersama saf pimpinan sedia ada,” ujarnya pada catatan di Facebooknya petang tadi.
Sebagai ahli parti, katanya beliau sedia berkhidmat kepada parti bagi meneruskan perjuangan PAS bersama saf pimpinan sedia ada.
“Insya-Allah saya akan terlebih dahulu membuat kunjungan terhadap presiden parti dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Sanusi Md Nor dalam masa terdekat untuk arahan dan panduan seterusnya,” katanya.
Beliau turut berharap semoga Allah permudahkan segala urusannya dalam memikul amanah yang diberikan itu.
Terdahulu, Takiyuddin melalui kenyataan media memaklumkan Annuar dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2023-2025.
Katanya, pelantikan itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang telah diadakan semalam bagi melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 31/10/2023











