Cukai simpanan korporat solusi tangani derita rakyat

Cadang kerajaan masukkan dalam Belanjawan 2024

- Advertisement -

BELANJAWAN 2024 sudah pun dibentangkan pada 13 Oktober lalu di Parlimen. Pembentangan itu sepertimana selalu, disiarkan secara langsung termasuk kini menerusi pelbagai platform. Tentu sekali ia diikuti jutaan rakyat Malaysia.

Tetapi setelah dua minggu, tiada kedengaran riang keseronokan segmen-segmen rakyat menyambut pembentangan itu. Apakah rakyat tidak gembira atau peruntukan tidak menyelesaikan masalah rakyat?

Saya melihat masih terdapat lompong dalam Belanjawan 2024. Terutama jika diamati berdasarkan prinsip Islam. Iaitulah yang dinyatakan Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud “Supaya (harta) itu tidak berlegar kepada orang kaya dalam kalangan kamu” (al-Hasyr: 7).

Juga kerana tidak mengimplementasikan solusi penyelesaian daripada Islam sebagaimana Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Ambillah daripada orang-orang kaya dalam kalangan kamu dan berikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan kamu.”

Ini kerana, dalam Belanjawan 2024 tidak ada langsung cukai atas simpanan korporat iaitulah golongan kaya di negara ini. Malangnya masih terdapat banyak cukai yang disedut ambil dari poket rakyat miskin.

Cukai atas simpanan korporat ini tidak akan membebankan sekiranya dikenakan menurut kaedah Islam iaitulah cuma 2.5 peratus sahaja sepertimana kadar zakat. Ia pasti mendatangkan hasil besar ke kantung kerajaan. 

Tetapi lebih besar manfaatnya adalah kepada rakyat keseluruhannya dan ekonomi negara. Rakyat pasti terbela sekiranya 30 peratus sahaja daripada hasil tersebut digunakan untuk meningkatkan kadar bantuan kepada mereka. 

Iaitu ia dibuat berdasarkan kaedah Quut Sanah yang dianjurkan Islam dalam memenuhi keperluan sara hidup rakyat bagi setahun. Ia bukan sahaja boleh menaikkan kuasa beli rakyat bawahan, tetapi juga membebaskan mereka dari putaran ganas kemiskinan. 

Bukankah Perdana Menteri selaku juga Menteri Kewangan yang membentangkan Belanjawan 2024 itu mahu menoktahkan kemiskinan? Insya-Allah inilah solusi penyelesaian tersebut.

Apabila rakyat kebanyakan memiliki kemampuan kewangan, tentulah ia merangsang ekonomi yang dimiliki oleh korporat juga akhirnya. Manakala sebahagian hasil lain dapat dimanfaatkan kerajaan untuk biaya pengurusan dan pembangunan negara. 

Inilah putaran adil kepada ekonomi seluruhnya dari prinsip telah Islam hadirkan untuk umat manusia dalam kehidupan di atas muka bumi dunia. Inilah rahmah sebenar yang kepada orang-orang beriman menjadi bekal di akhirat kelak. 

Saya juga mencadangkan seperlapan atau 12.5 peratus daripada cukai simpanan korporat itu digunakan untuk penghutang PTPTN. Para graduan kita tidak harus terpasung dengan beban hutang yang menyusahkan. 

Sebaliknya potensi mereka harus diperkasakan lagi ke arah membangunkan masyarakat dan negara setelah bertahun di menara gading. Saya percaya, mereka sangat diperlukan di sektor kerajaan bahkan juga korporat.

Mari kita insafi dan sedari bahawa pendapatan RM2,569 ketika ini sudah berada pada had garis kemiskinan. Tetapi hanya 18,000 miskin tegar menerima bantuan JKM, tetapi ada 470,000 isi rumah miskin tidak mendapat sebarang bantuan. 

Kerajaan harus sedar, pasca-PKP akibat pandemik COVID-19 dahulu, ramai rakyat termasuk usahawan PMKS masih bergelut untuk pemulihan kewangan. Apatah lagi mereka yang dibuang kerja atau dipotong gaji.

Ditambah sukar lagi oleh kenaikan harga barang – ayam, telur serta banyak barangan asas dapur yang menjadi keperluan harian rakyat, kini beras pula berkurangan. Juga pemberian subsidi yang masih tiris dan tidak benar-benar bersasar.

Semua ini menjadikan ekonomi rakyat kebanyakan diputar belit dalam kitaran berulang yang memeningkan kepala dan menyesakkan dada seperti berada di dalam mesin basuh. Rakyat perlu dipimpin keluar dari kemelut ini.

YB USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ MD JAN
Ahli Parlimen Permatang Pauh – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -