Adun Belia mampu muncul generasi kompeten

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Persidangan Adun Belia Terengganu mampu memberi pendedahan dan pengalaman kepada golongan belia mengenai perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, belia yang terlibat dapat menimba pengalaman berhujah dengan fakta sepanjang persidangan berkenaan.

“Paling tidak kalau mereka berpeluang menjadi pemimpin pada masa akan datang hasil pengalaman yang ditimba sekarang.

“Jadi harapan kami Adun Belia menjadi generasi yang kompeten,” katanya
kepada pemberita selepas Perasmian Persidangan Kedua Penggal ke-2, Adun Belia Terengganu Siri ll 2021-2023 di DUN di sini, hari ini.

Persidangan DUN Belia sudah beberapa kali diadakan di Terengganu di mana
siri pertama dipengerusikan Hishamuddin. Persidangan itu dinilaikan pasukan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Beliau yang juga Adun Tepuh berkata, TSIS akan membuat ringkasan semua hujahan peserta Belia DUN.

Menurutnya juga sidang Adun Belia pernah disebut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentang Belanjawan negeri sebelum ini.

Kata beliau kerajaan negeri menyediakan bajet untuk mewujudkan Akademi Al-Fateh bagi membangun belia dengan lebih menyeluruh.

“Adun Belia melibatkan 33 peserta. Jadi Akademi Al-Fateh sebagai kesinambungan daripada program Adun Belia,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -