Israel-Palestin: Kian meruncing ke arah perang serantau

- Advertisement -

POLITIK dunia kini sangat tegang. Pandangan yang asalnya skeptikal terhadap kebarangkalian perang besar-besaran pun sudah mula bercakap akan potensi tersebut. Memang hingga ke hari ini format perang masing menggunakan proksi, sedari awal AS mengistilahkannya sebagai Long War.

Namun jika terus berlarutan, kita harus bersedia dengan senario yang lebih buruk. Rangsangan yang mengarah kepada perang serantau sedang dan terus berjalan. Apatah lagi picu peperangan hari ini sudah semakin tidak selindung-selindung sebab kepercayaan agama, yang sifatnya lebih sensitif berbanding persaingan ideologi. Tidak seperti alasan politik atau ekonomi yang lebih mudah dirunding-rundingkan.

Serangan HAMAS telah berjaya membuka mata dunia, khususnya umat Islam setelah sekian lama buat tidak sedar terhadap perselingkuhan kuasa mata satu dengan jiran-jiran Arabnya yang semakin mengukuh di rantau tersebut. Tanpa diduga juga, propaganda-propaganda pro mata satu banyak yang tidak menjadi kali ini.

Sentimen sektarian mazhab tidak berapa dapat sambutan. Tidak seperti waktu Arab Spring dahulu yang boleh dijual laris. 

Ia termasuklah naratif Islamofobia yang lazimnya membingkaikan Islamis kononnya sebagai pengganas, pun agak tenggelam setelah sebaran-sebaran visual serangan kejam mata satu ke atas Gaza yang menyentap sensitiviti umat Islam seluruh dunia. Malah boleh jadi sesiapa yang cuba jual naratif tersebut akan jelas kelihatan dia bekerja untuk siapa.

Apa-apa pun, doakanlah yang terbaik buat pendukung-pendukung iman. Amin.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Klang – HARAKAHDAILY 29/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -