
KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengambil inisiatif bekerjasama dengan pempegaruh (influenser) untuk mengajar usahawan kaedah menggunakan aplikasi di media sosial bagi memasarkan produk.
Timbalan Pengerusi, Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mohamad Nasriff Daud berkata, ada usahawan masih di takuk lama kerana belum terdedah dengan kaedah pemasaran baharu.
“Usahawan kita mampu membuat produk tetapi tidak berfikir lebih jauh untuk memasarkannya dengan lebih efisyen.
“Sedangkan bagi mengembangkan perniagaan perlu ada ilmu berkaitan keusahawanan,” katanya selepas perasmian Kala Fest 2023 di Kelantan Trade Centre petang semalam.
Hadir sama bekas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Ab Aziz Yunus, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Oleh itu Nasriff meminta 800 usahawan di bawah bimbangan PKINK melaksanakan transformasi digital untuk memasarkan produk bagi meningkatkan perniagaan mereka.
Menurutnya juga kerajaan negeri menggalakkan usahawan mendapatkan sijil halal bagi memasarkan produk dengan lebih meluas.
Terdahulu ketika berucap merasmikan program berkenaan kata beliau kerajaan negeri melalui agensinya termasuk PKINK membantu rakyat yang berminat memulakan perniagaan.
Katanya bantuan termasuk peralatan diberi untuk membolehkan usahawan baharu berjinak dalam perniagaan. – HARAKAHDAILY 27/10/2023











