Tanaman getah tidak kalis cuaca, perubahan harga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cuaca dan harga yang tidak menentu menjadi antara masalah utama yang dihadapi penoreh dan pemilik ladang getah di negara ini.

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) ketika mengemukakan soalan tambahan berkata, buruh ladang getah juga dilihat sukar untuk diperolehi.

- Advertisement -

“Ini adalah masalah-masalah yang berterusan untuk produk getah.

“Adakah kementerian berhasrat untuk menukar tanaman getah ke jenis tanaman yang lebih komersial seperti kenaf kerana tempoh matang hanya empat bulan yang boleh menggantikan hasil eksport negara atau buluh yang sebelum ini sudah dimulakan,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata harga getah ditentukan oleh permintaan dunia.

“Kita lihat dalam konteks negara, harga getah ditentukan oleh Standard Malaysia Rubber (SMR 20) yang pada masa ini kalau kita kirakan pada harga ladang secara purata ialah antara RM2.30 ke RM2.80.

“Oleh sebab itu, kita memang letakkan harga siling untuk kita membantu menambah pendapatan mereka,” katanya.

Menjawab cadangan menukar tanaman getah kepada kenaf, beliau berkata kerajaan mahu mengekalkan pengeluaran getah, terutama lateks.

“Kita ada program yang dibuat, iaitu projek rintis supaya pengeluaran lateks digalakkan sebab harga lateks lebih baik, iaitu RM5 lebih berbanding getah sekerap.

“Lateks sekarang ini mereka boleh jual terus kepada kilang. Oleh itu, mereka akan mendapat pendapatan yang lebih kerana tidak melalui orang tengah.

“Projek rintis ini kita nak laksanakan setahun yang mana kita mulakan di Perak dan diharap selepas ini Kedah dan Sabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -