
KUALA LUMPUR: Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) mempersoalkan keperluan membuat permohonan kali kedua bagi sesebuah syarikat untuk benar-benar layak mendapat status Bumiputera.
Menurutnya, ini kerana dalam permohonan pertama sudah dinyatakan status pemohon yang menjelaskan sama ada pemohon Bumiputera atau tidak.
“Soalan saya ialah syarikat pemilikan tunggal milik orang Melayu Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukan firma.
“Pada permohonan pertama lagi sudah tahu berdasarkan kad pengenalan yang disertakan bahawa pemohon orang Melayu Bumiputera, tetapi ketika permohonan kedua masih perlu menyatakan status itu,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan urusan penilaian tender yang sebelum ini dikatakan tiada campur tangan Kementerian Kewangan.
“Sejauh mana peranan Menteri Kewangan dari segi penilaian tender yang dikeluarkan oleh kementerian lain. Sebagai contoh tender yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan, katanya ada campur tangan Kementerian Kewangan untuk penilaian,” katanya.
Mengikut soalan asal, beliau meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan berhubung syarikat individu Bumiputera yang berdaftar dengan SSM berstatus pemilik tunggal tidak diberi status taraf Bumiputera bagi pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam jawapannya berkata, Kementeriannya menetapkan supaya lawatan menentu sah dilaksanakan bagi memastikan sesebuah syarikat itu benar-benar layak untuk diberikan status Bumiputera.
Beliau menegaskan, syarat ini penting dan ia membuktikan penilaian memastikan kesahihan status Bumiputera sesebuah syarikat itu tidak hanya tertakluk kepada aspek dokumentasi semata-mata.
Katanya, syarikat yang berdaftar juga perlu memenuhi kriteria ditetapkan oleh kementerian sebelum penarafan Bumiputera diberi bagi tujuan mengawal dan seterusnya menyokong Dasar Keutamaan Kepada syarikat Bumiputera.
“Sebagai makluman bagi tempoh sehingga 30 September lalu, sebanyak 108,870 syarikat telah berdaftar dengan Kementerian Kewangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2023











