Syiar Islam bukan perkara yang perlu ditakuti

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) kecewa dengan tindakan penganjur Freedom For Palestine yang diadakan pada 22 Oktober yang lalu di Dataran Merdeka yang menghalang takbir dilaungkan sewaktu himpunan tersebut.

Laungan takbir “الله أكبر” bukanlah satu laungan yang menghasut bahkan tidak menunjukkan agama Islam itu sebagai pengganas mahupun keras, tetapi ia adalah satu laungan yang disukai oleh Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W:

- Advertisement -

أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللهِ أَرْبَعٌ: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ

“Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah S.W.T: Tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), tahlil (Lailahaillallah) dan takbir (Allahuakbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu.”

(Riwayat Muslim (2137))

Sewaktu himpunan berkenaan juga telah diarahkan untuk menurunkan plakad gambar Netanyahu serta bendera HAMAS. Umum mengetahui bahawa Perdana Menteri Israel ini yang merancang agenda-agenda untuk menghapuskan negara Islam. Jadi hati siapa yang mereka mahu jaga?

DPPNJ mendesak supaya pihak penganjur membuat satu permohonan maaf kepada semua peserta yang terlibat serta umat Islam di Malaysia ini. Solidariti untuk Palestin bukanlah satu perkara yang perlu disekat, tetapi ia perlu ditunjukkan dengan aspek keimanan kita.

Sehubungan dengan itu, DPPNJ mengajak semua rakyat Johor khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya untuk sama-sama kita berhimpun pada 28 Oktober 2023, Sabtu ini di hadapan Kedutaan Amerika sambil kita bertakbir, dan menyatakan solidariti kita kepada Palestin serta mengecam dan mengutuk tindakan Israel Zionis.

Isu Palestin ini bukan hanya isu kemanusiaan, bahkan lebih besar dari itu kerana ia adalah isu aqidah kerana Palestin khususnya Masjid Al-Aqsa merupakan tempat yang diutamakan untuk umat Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Ayuh umat Islam, kita bersolidariti tidak kira masa dan tempat.

USTAZ AHMAD NAWFAL DATO’ MAHFODZ
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -