
SEKARANG ini sedang berlaku satu bencana yang amat dahsyat, iaitu ‘trend’ kes-kes mencabar kedudukan Undang-undang Syariah Islam di mahkamah. Baik kepada bidang kuasa mahkamah dan juga kepada bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal Undang-undang Islam.
Ini secara tidak langsung juga mencabar kedudukan raja-raja sebagai ketua bagi agama Islam. Sultan Selangor juga telah bertitah mengenai kebimbangan Tuanku terhadap isu yang sedang berlaku dan meminta agar diluaskan kuasa kepada bagi menggubal undang-undang.
Jika sudah sampai ke tahap ini, bermakna isu ini telah memasuki ‘red zone’. Bahaya yang menanti akan menggugat kedudukan hak umat Islam.
Namun mengapa kerajaan masih berdiam diri. Adakah mereka masih mahu buat-buat tidak sedar hakikat yang sedang berlaku ini?
Sebaliknya, apa yang berlaku umat Islam dipaksa bersikap apologetik dan menjaga hati kaum bukan-Islam. Kalimah ‘Allahuakbar’ tidak boleh disebut dalam himpunan. Perkataan ‘kafir’ tidak boleh disebut di dalam Dewan Rakyat.
Inilah kelompongan yang sedikit demi sedikit dibiarkan sehingga kedaulatan agama Islam dipijak oleh golongan tertentu.
Sejak mula penubuhan Malaysia lagi, Islam adalah agama majoriti rakyat di negara ini. Islam diangkat sebagai agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Bahkan melalui Perlembagaan juga, kebebasan bagi agama lain terjamin.
Amaran kepada Kerajaan Madani agar berani dan tegas ke hadapan menghentikan kemelut ini dengan kuasa yang ada,
Jangan lupa perhimpunan ICERD besar-besaran suatu masa dahulu yang menghimpunkan ratusan ribu rakyat Malaysia adalah kerana kemarahan rakyat kepada kerajaan. Jika kerajaan masih tidak mahu bertindak, tunggu dan lihat apa yang pembangkang akan lakukan.
Sekian.
USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Selangor
25 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 25/10/2023











